MFL agih bayaran hak penyiaran RM18 juta

Presiden MFL, Datuk Hamidin Mohd Amin (duduk, tengah) dan Ab Ghani (duduk, tiga dari kanan) bersama Ahli Lembaga Pengarah MFL dan barisan wakil pemegang taruh Liga-M selepas Mesyuarat Lembaga Pengarah MFL ke-20.
Presiden MFL, Datuk Hamidin Mohd Amin (duduk, tengah) dan Ab Ghani (duduk, tiga dari kanan) bersama Ahli Lembaga Pengarah MFL dan barisan wakil pemegang taruh Liga-M selepas Mesyuarat Lembaga Pengarah MFL ke-20.
A
A
A

LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) mengumumkan agihan pendapatan atau hak penyiaran sebanyak RM1 juta kepada pasukan Liga Super dan RM500,000 untuk pasukan Liga Premier musim ini.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan berkata, jumlah agihan kepada pemegang taruh akan ditentukan Lembaga Pengarah MFL jika pendapatan penajaan kepada rakan kongsi kurang atau melebihi RM18 juta berdasarkan Perlembagaan MFL Jadual 7 (Pengedaran Pendapatan Rakan Kongsi Liga) dan 7A.

Menurutnya, berdasarkan peruntukan tersebut, pemberian agihan kepada pemegang taruh liga dibuat berdasarkan 75 peratus daripada pendapatan yang diraih badan pentadbir liga itu.

“Berdasarkan pendapatan diraih MFL khususnya menerusi penajaan setakat ini, insya-ALLAH kita akan membuat agihan pendapatan penajaan RM18 juta keseluruhan kepada semua Rakan Kongsi Liga.

“Semua Rakan Kongsi Liga sedia maklum mengenai agihan ini menerusi taklimat yang kita adakan bagi menerangkan secara jelas mengenai pendapatan serta perbelanjaan operasi MFL musim ini.

“Sebagai Rakan Kongsi Liga, mereka faham bahawa agihan yang diterima berdasarkan pendapatan MFL tahun ini dan mengikut kontrak perjanjian bersama Rakan Kongsi Liga,” katanya dalam satu kenyataan kepada media selepas Mesyuarat Lembaga Pengarah MFL ke-20 semalam.

MFL sebelum ini berjaya mendapatkan dua penaja Liga-M 2020 selepas Telekom Malaysia (TM) menjadi penyiar rasmi dan penaja utama Piala Malaysia 2020 termasuk penaja bersama Liga Super, Liga Premier, Piala FA dan Piala Cabaran.

CIMB Bank pula menjadi penaja utama Liga Super dan Piala Sumbangsih serta penaja bersama untuk pertandingan lain kelolaan MFL.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan sama, Abdul Ghani berkata, MFL juga memansuhkan manual syarat pemain naturalisasi selepas mendapati ia tidak lagi sesuai untuk dipraktikkan berdasarkan perkembangan semasa bola sepak tempatan.

Justeru, beliau memberitahu, bagi pemain asing yang telah diiktiraf kewarganegaraannya oleh pihak berwajib dan memiliki kelayakan untuk mewakili pasukan negara, pemain tersebut juga boleh diiktiraf mewakili kelab atau pasukan dalam Liga-M dengan status sebagai pemain tempatan.

Sebagai rekod, empat pasukan yang memegang status sebagai feeder club musim ini adalah Johor Darul Ta’zim II (JDT II), Perak II, Terengganu FC II (TFC II) dan Selangor II.