Selangor perkukuh industri halal

SELANGOR yakin sektor industri halal mempunyai potensi besar sekali gus merancakkan penerokaannya menerusi Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2024 siri kedua di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Konvensyen Halal Antarabangsa Selangor (SELHAC) bermula dari 16 hingga 19 Oktober antara ekspo yang mendapat tumpuan pada persidangan SIBS yang diperkenal sejak 2015.
SELHAC digabung bersama Ekspo Antarabangsa Selangor (Makanan dan Minuman) atau SIE F&B. Ia menjadi medan syarikat tempatan dan antarabangsa meneroka pasaran halal di rantau ini.
Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor, Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata penggabungan itu mewujudkan platform lebih komprehensif untuk usahawan halal di ASEAN selain memperkukuh rantaian dan pembangunan industri berkenaan.
“Sebelum ini, ia persidangan yang berdiri sendiri. Saya berpendapat SIBS berjaya membawa masuk ramai peserta dan pemain industri, baik tempatan mahupun luar negara.
“SELHAC asalnya diwujudkan sebagai medium usahawan halal memasuki pasaran Asean. Apabila skop SIBS diperluas, relevan untuk menjadikan SELHAC sebahagian daripada persidangan itu,” katanya.
Langkah menjadikan SELHAC sebahagian SIBS strategi membantu pemain industri tempatan dan antarabangsa menerokai pasaran halal bagi mendapat pensijilan berkaitan.
Sidang kemuncak anjuran Invest Selangor Berhad (Invest Selangor) ini kali pertama diadakan dalam dua acara berasingan. SIBS 2024 siri pertama pada 25 hingga 27 Julai membabitkan Ekspo Taman Perindustrian Selangor dan Persidangan Perniagaan ASEAN Selangor.
Ia menjana nilai transaksi RM12.2 bilion, hampir dua kali ganda daripada sasaran keseluruhan RM7 bilion. Kejayaan itu turut menarik lebih 8,500 pelawat ke persidangan.
Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor, Ng Sze Han memaklumkan keputusan untuk mengadakan sidang kemuncak dalam dua siri hasil berikutan maklum balas peserta dan pengunjung SIBS lalu.
“Kami menjangka pengisian lebih baik dalam acara kali ini. Lebih banyak perbincangan dan peluang rangkaian diwujudkan untuk memaksimumkan pelaburan dalam penganjuran setiap acara dan juga peserta keseluruhan,” kata Sze Han.
Platform pelabur
Pada siri kedua sidang kemuncak ini, Invest Selangor menetapkan sasaran potensi transaksi tambahan bernilai RM1 bilion.
Invest Selangor menjangka sasaran urus niaga merentasi pelbagai sektor, seperti SIE F&B yang diunjurkan mencapai nilai transaksi RM600 juta.
Itu mencerminkan kejayaan SIBS sebagai platform yang menghubungkan pemain industri sekali gus mengukuhkan kedudukan Selangor sebagai destinasi pelaburan utama dalam ASEAN.
“Kami menyasarkan untuk mewujudkan platform sasaran pelabur dan strategik yang memudahkan rangkaian dan peluang perniagaan serta memberi kesan.
“Kami bukan sahaja tumpu tarik pelaburan tetapi juga membina perkongsian mampan yang akan memberi manfaat jangka panjang untuk Selangor dan wilayah yang lebih luas,” kata Sze Han.
Antara acara menarik perhatian dalam ekspo ini, forum keselamatan makanan anjuran bersama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
