Pelajar MARA di Jordan bakal perkasa Industri Halal Malaysia - Asyraf Wajdi

KUANTAN - Pelajar tajaan Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang melanjutkan pengajian di Jordan dijangka memainkan peranan penting dalam perkembangan industri halal Malaysia selepas kembali ke tanah air.
Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, dasar kerajaan di bawah Majlis Pembangunan Industri Halal Malaysia memerlukan lebih ramai tenaga pakar untuk memperkasa ekosistem halal negara.
Beliau menegaskan, pembangunan sektor halal bukan sekadar melibatkan pensijilan, tetapi juga memerlukan pemantapan tadbir urus dan kawalan proses secara menyeluruh.
"Majlis Pembangunan Industri Halal yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kini sedang berusaha membangunkan ekosistem halal secara menyeluruh, seiring dengan kejayaan negara dalam membangunkan industri kewangan dan perbankan Islam.
“Kita harus ingat, Malaysia telah diiktiraf sebagai negara terkemuka dalam industri halal. Oleh itu, kita mahu pastikan ekosistem halal ini terus diperkukuh secara holistik bukan hanya dalam konteks sijil halal sahaja.
"Jadi, Pengerusi majlis bersama jawatankuasa yang dilantik kini sedang meneliti semua aspek ekosistem halal, termasuk tadbir urus, perundangan, pembangunan sumber manusia, serta pengantarabangsaan untuk memastikan ia berkembang secara menyeluruh,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan Sijil Tamat Kursus Intensif Bahasa Arab (KIBA) kepada 124 pelajar sesi 2024/2025 di Universiti Kolej Yayasan Pahang (UCYP), Tanjung Lumpur pada Selasa.
Kursus ini adalah inisiatif kerjasama MARA dan Yayasan Pahang untuk memperkasakan pelajar dalam bahasa Arab dan kepimpinan sebelum melanjutkan pengajian ke Jordan.
Seramai 103 pelajar tajaan MARA melalui Program Pembangunan Bakat Muda (YTP) telah menamatkan kursus dan bersedia ke universiti terpilih di Jordan, termasuk Universiti Jordan, Universiti Al Albayt, dan Universiti Mu’tah.
Selain itu, 20 pelajar tajaan Yayasan Pahang akan memulakan pengajian tahun pertama dalam program berkembar 2 2 antara Kolej Yayasan Pahang (KYP) dan Universiti Yarmouk, Jordan dalam bidang Ekonomi dan Perbankan Islam.
Turut hadir, Pengerusi Lembaga Pengelola UCYP, Tan Sri Profesor Dr Noorul Ainur Mohd Nur, dan Naib Canselor UCYP, Datuk Dr Muhammad Fauzi Mohd Zain.
Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi memberitahu pelajar yang melanjutkan pengajian dalam bidang Fiqh dan Usul Fiqh mempunyai berpotensi besar menjadi tenaga utama dalam pembangunan industri halal.
Beliau menambah, pengiktirafan halal bukan hanya tertumpu pada sijil, tetapi memerlukan sistem tadbir urus yang ketat serta kawalan berterusan bagi memastikan segala proses mematuhi prinsip halal dan toyyiban diyakini oleh umat Islam.
“Jumlah syarikat yang memohon pengiktirafan halal terus meningkat setiap tahun, dan kita memerlukan lebih ramai tenaga pakar untuk memantau dan memastikan industri halal kita berkembang dengan baik.
"Audit berkala sahaja tidak mencukupi, tapi kita perlu tenaga mahir yang mampu mengawal dan memperkukuh ekosistem halal ini agar Malaysia terus menjadi contoh kepada dunia," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!