'Ingatkan kemalangan biasa, rupanya Nabila sudah tiada' – Ibu saudara

Siti Nurul Fatihah menunjukkan gambar Siti Nabila (gambar kecil) di telefon bimbitnya.
Siti Nurul Fatihah menunjukkan gambar Siti Nabila (gambar kecil) di telefon bimbitnya.
A
A
A

JOHOR BAHRU - “Saya ingatkan Nabila dan adik-adiknya hanya kemalangan biasa, tetapi apabila polis memaklumkan Nabila sudah tiada dan minta saya ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi, hati saya luluh dan sangat sedih.”

Itu luahan Siti Nurul Fatihah Mahmud, 37, ibu saudara kepada Allahyarhamah, Siti Nabila Rudin, 22, yang maut dalam kemalangan dengan sebuah lori di Kilometer (KM) 52 Jalan Johor Bahru – Mersing, pada Sabtu.

Menurutnya, kejadian berlaku ketika Siti Nabila yang tinggal di Kota Masai, Pasir Gudang dan bekerja sebagai operator kilang pulang ke kampungnya di Tanah Merah, Kelantan bersama adiknya, Hafizah Rudin, 20, dan Alimin Rudin, 14, untuk majlis pertunangan dan akad nikahnya Jumaat ini.

Siti Nurul Fatihan berkata, Siti Nabila turut membawa busana pengantin untuknya dan pasangan dalam kereta berkenaan berikutan majlis pertunangan dan nikah akan diadakan pada hari yang sama sebelum majlis bersanding yang dijangka diadakan pada Hari Raya Aidilfitri kelak.

"Saya mendapat panggilan daripada bakal suaminya yang tinggal di Selangor, lebih kurang jam 3.30 petang memaklumkan Nabila (Siti) kemalangan di Simpang Mawai.

“Kemudian, setelah menghubungi polis dan dimaklumkan mengenai pemergian Nabila, saya terus menghubungi kakak (ibu Nabila) di Kelantan sebelum kakak bersama abang (pak cik Nabila) menaiki bas ke Kota Tinggi malam tadi, untuk urusan tuntutan jenazah,” katanya.

Dalam kemalangan itu, dua adik Siti Nabila, Hafizah cedera parah dan patah tulang pinggul serta kaki, manakala Alimin mengalami patah tengkuk dan kini menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru.

Allahyarhamah Siti Nabila selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Cahaya Masai, di Pasir Gudang, selepas Zohor pada Ahad.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Siti Nurul Fatihan berkata, Siti Nabila memang rapat dengannya dan sejak dia berusia 16 tahun dan Allahyarham kerap datang ke rumahnya di Kota Masai ketika musim cuti sekolah.

Malah katanya, setelah tamat persekolahan, Nabila terus tinggal dengan saya dan bekerja di sebuah kilang di Pasir Gudang.

“Bagi saya, Nabila mempunyai sifat tanggungjawab yang tinggi dan penyayang kerana mereka tiga beradik merupakan anak yatim.

“Sejak kematian abang ipar (ayah Nabila) lima tahun lalu akibat jangkitan kencing tikus, Nabila mengambil tanggungjawab menanggung sepenuhnya pengajian adik lelakinya Alimin Rudin, 14 tahun belajar di pusat pengajian di Sekolah Pondok Sungai Durian, Kuala Krai, Kelantan.

“Dia memang seorang anak dan kakak yang sangat baik, berdikari dan bertanggungjawab terutamanya terhadap adik- beradiknya,” katanya.

Sementara itu, Siti Nurul Fatihan berkata, Siti Nabila juga tidak ada menunjukkan sebarang sikap yang pelik, cuma Allahyarham seakan tahu dia akan pergi buat selama-lamanya berdasarkan kepada persiapan majlis pertunangan dan akad nikahnya dibuat secara ala kadar sahaja.

“Saya ada tanya kakak, macam mana persiapan majlis arwah? Kakak cakap tiada majlis... yang penting selesaikan urusan dokumen pernikahan sebab arwah menggunakan wali hakim, kerana tiada ayah memandangkan adiknya belum cukup umur untuk menjadi wali.

“Kali terakhir Nabila hubungi saya semalam, dia kata nak makan ketam dan minta saya mencari ketam hidup untuk dibawa pulang ke Kelantan.

"Saya beritahunya kenapa tidak cakap awal, kalau arwah balik (ke Kelantan), petang sempat saya carikan ketam hidup, tetapi arwah cakap tak apa sebab nak balik sangat walaupun baru pulang dari kerja jam 7 pagi dan bertolak pulang ke Kelantan pada jam 1 tengah hari,” katanya.

Sementara itu, bakal suami arwah, Tuan Muhammad Aiman Tuan Muda, 27, berkata, ketika dihubungi pihak polis berhubung kemalangan tersebut, dia terus bergerak ke Kota Tinggi untuk melihat keadaan arwah.

“Ketika dimaklumkan mengenai kemalangan itu, saya juga baru nak bergerak pulang ke Kelantan untuk majlis tunang dan akad nikah, tetapi saya tukar haluan ke selatan sebab nak tengok macam mana keadaan dia (Siti Nabila).

“Saya dapat tahu arwah kemalangan...tetapi apabila makcik arwah beritahu arwah sudah tiada, saya berasa sangat sedih kerana tak sangka langsung berlakunya kemalangan ini...arwah pun tak ada pesan apa-apa, cuma maklum nak balik ke Kelantan.

“Kalau ikut perancangannya, selepas nikah, arwah akan ikut saya tinggal di Selangor, tapi sudah suratan takdir kami...saya reda,” ujarnya.

.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!