Rampas barang lebih RM176,000, 18 individu ditahan

KOTA BHARU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) dan Kos Sara Hidup negeri Kelantan menahan 18 individu sepanjang Januari tahun ini sehingga Sabtu di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan Akta Kawalan Bekalan 1961.
Pengarahnya, Azman Ismail berkata, dalam tempoh kurang satu bulan itu juga, pihaknya turut merampas pelbagai barangan dengan nilai lebih RM176,000.
"Antara barangan dirampas ialah minyak bersubsidi, gula, tepung serta barang kawalan lain," katanya.
Beliau berkata demikian selepas Program 'Walkabout' bagi Pematuhan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Tahun Baharu Cina 2025 pada Ahad.
Azman memberitahu, sebanyak 89 kes sudah diambil tindakan manakala 48 kes dikenakan kompaun membabitkan nilai sebanyak RM12,200.
Dalam perkembangan lain, Azman berkata, KPDN negeri Kelantan akan melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Tahun Baharu Cina 2025 bermula Ahad hingga 2 Februari depan membabitkan 13 barangan.
Jelas beliau, antara barangan terlibat ialah ikan bawal putih, bawang putih, bawang kuning, kepak ayam, cili merah dan lobak merah.
"Penentuan harga dibuat dengan mengambil kira pandangan daripada agensi kerajaan yang terlibat serta golongan dalan industri ini," katanya.
Tambah beliau lagi, peniaga melakukan kesalahan akan diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan boleh dikenakan penalti sehingga RM250,000.
"Bagi melancarkan pelaksanaan skim berkenaan, pegawai penguat kuasa KPDN Kelantan akan ditugaskan di lokasi strategik termasuk pasar awam, pasar tani dan pasar raya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!