Ancaman Pak Belang: Penduduk dinasihat kurangkan aktiviti malam

Laporan Sinar Harian berkaitan kemunculan 'Pak Belang' di Kampung Kolam Air
Laporan Sinar Harian berkaitan kemunculan 'Pak Belang' di Kampung Kolam Air
A
A
A

IPOH - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak menasihatkan penduduk Kampung Kolam, Tanjung Rambutan di sini, mengurangkan aktiviti pada waktu malam susulan serangan harimau belang terhadap ternakan penduduk pada 17 Januari.

Pengarahnya Yusoff Shariff berkata, ia bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini dan dikhuatiri haiwan pemangsa itu akan kembali ke lokasi serangan untuk mencari sumber makanan.

"Kita minta penduduk, khususnya jangan keluar ke hutan atau ke kandang ternakan pada waktu menghampiri malam kerana kita khuatir berlaku kejadian tidak diingini.

"Walaupun kita percaya harimau itu telah beredar ke lokasi lain namun kebarangkalian untuk kembali ke kawasan serangan tetap ada disebabkan ia berdekatan hutan serta kandang ternakan penduduk,” katanya ketika dihubungi Bernama pada Ahad.

Pada 19 Januari, Perhilitan Perak mengesahkan menerima laporan berhubung serangan itu daripada penduduk berdasarkan penemuan tapak kaki serta kecederaan ke atas lembu berkenaan.

Perhilitan kemudian memasang kamera dan perangkap khas sebagai tindakan susulan bagi tujuan mengesan kelibat 'Raja Rimba' di kawasan terbabit.

Selain itu, Yusoff berkata, pihaknya tidak bercadang mengubah posisi kamera dan perangkap yang dipasang meskipun tiada sebarang petunjuk haiwan pemangsa itu kembali berkeliaran di lokasi serangan.

"Kita hanya akan buka kamera atau perangkap (yang dipasang) bergantung kepada jejak dan kepastian sama ada harimau itu telah beredar jauh atau sebaliknya,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!