Kerajaan disaran laksana rancangan pemecah ombak selamatkan pantai

SHAH ALAM - Kerajaan dan agensi berkaitan disarankan agar melaksanakan rancangan pemecah ombak bagi menyelamatkan pantai negara daripada ancaman hakisan dan penduduk berdekatan.
Presiden Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia (PPKM), Tan Sri Dr Wan Mahmood Pawan Teh berkata, mengambil contoh kisah kediaman seorang pesara, Mohd Yazit Idris di Batu Rakit, Kuala Nerus yang berdepan isu ancaman ombak, ia merupakan salah satu daripada ribuan kes dihadapi rakyat tinggal berhampiran pantai.
Menurutnya, walaupun soal tanah di bawah bidang kuasa negeri, perkara tersebut perlu dilihat secara menyeluruh dan diselesaikan secara tuntas.
“Kita tidak perlu pergi jauh untuk mencari contoh-contoh yang baik berkenaan menghadapi gelombang yang menghakis pantai, Singapura menunjukkan bagaimana mereka berjaya membesarkan pulau itu antara tahun 1965 hingga 2024 dengan menambah 3013, 800 hektar daripada dasar laut.
“Bandar-bandar di negara China dapat menambah ratusan kilometer daripada yang ditenggelami air. Oleh yang demikian harus kita memandang serius perkara ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Pada Rabu, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyatakan masalah hakisan dan jalan runtuh di pantai Batu Rakit, Kuala Nerus akan ditangani secepat mungkin sebaik kerja-kerja pembinaan benteng pemecah ombak di kawasan itu disambung kembali selepas berakhir musim tengkujuh tidak lama lagi.
Katanya, sebelum ini projek berkenaan tergendala sementara akibat fenomena ombak besar sepanjang musim Monsun Timur Laut (MTL).
Tambah beliau, projek bernilai RM70 juta di bawah Kerajaan Persekutuan itu akan diteruskan sekali gus mampu menyelamatkan pantai itu daripada hilang ditelan ombak.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!