JPJ senarai hitam pengguna kenderaan gagal bayar saman

TANAH MERAH - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan menyenaraihitam pengguna kenderaan yang gagal membayar saman tiga jenis notis kesalahan bermula Julai depan.
Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, jabatan itu kini dalam usaha melaksanakan pemutihan tunggakan saman membabitkan pelbagai kesalahan melalui Kadar Kompaun Khas yang ditawarkan awal Januari lalu.

Beliau memberitahu, sehingga kini hanya 4.15 peratus daripada dua juta tunggakan saman yang sudah dibayar.
"Pengguna kenderaan yang gagal membayar tunggakan itu juga tidak boleh memperbaharui lesen dan cukai jalan," katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Majlis Sumbangan Skuad Ihsan Madani JPJ dan Pakaian Seragam Sekolah Kepada Mangsa Banjir di sini pada Sabtu.
Majlis disempurnakan oleh Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.
Jelasnya, dalam tempoh tawaran berkenaan, sebanyak RM12.5 juta kutipan saman sudah dibayar membabitkan 83,000 saman pelbagai kesalahan.
Media sebelum ini melaporkan JPJ menawarkan kompaun khas dengan kadar rata RM150 bagi tiga kesalahan selama enam bulan bermula 2 Januari hingga 30 Jun depan.
Kadar berkenaan melibatkan tiga jenis notis saman JPJ iaitu Saman Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AwAS) (Saman 53A), Notis Temu Siasat (114) dan Notis Saman Tampal/JPJ(P)23 (115).
Menurut Aedy Fadly, selepas 30 Jun kadar bayaran akan kembali seperti biasa dan mereka yang gagal menjelaskan saman itu berdepan tindakan.
"Kita menggesa semua pemandu yang mempunyai saman tertunggak membayar melalui kaunter JPJ atau aplikasi MyJPJ sebelum tarikh akhir tawaran," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!