JPJ 'buru' van Thailand gagal bayar saman

JPJ giat 'memburu' van Thailand yang dikesan masih gagal membayar saman setelah melakukan kesalahan di negara ini. Gambar kecil: Aedy Fadly. FOTO SINAR HARIAN
JPJ giat 'memburu' van Thailand yang dikesan masih gagal membayar saman setelah melakukan kesalahan di negara ini. Gambar kecil: Aedy Fadly. FOTO SINAR HARIAN
A
A
A

KOTA BHARU - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia giat 'memburu' van Thailand yang dikesan masih gagal membayar saman setelah melakukan kesalahan di negara ini.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, bermula 1 Januari lalu pihaknya telah melaksanakan Op Tunggak melibatkan negeri bersempadan dengan negara jiran iaitu Kelantan, Perlis, Kedah dan Perak.

"Sehingga 24 Januari (Jumaat) sebanyak 2,010 pemandu dan 1,811 kenderaan dari Thailand telah diperiksa oleh JPJ.

Aedy Fadly (kanan) memeriksa 16 van Thailand yang telah disita sepanjang tempoh Op Tunggak.
Aedy Fadly (kanan) memeriksa 16 van Thailand yang telah disita sepanjang tempoh Op Tunggak.

"Dari jumlah tersebut, sebanyak 182 pemandu dan 163 kenderaan mempunyai rekod saman tertunggak," katanya semasa sidang akhbar pada Ahad.

Sebelum itu beliau merasmikan Perhimpunan Setia Khas JPJ Kelantan di sini yang turut dihadiri oleh Pengarah Kanan Penguat kuasa, Muhammad Kifli Ma Hassan dan Pengarah JPJ Kelantan, Mohd Misuari Abdullah.

Menurutnya, seorang pemilik van dari Thailand telah membayar sejumlah RM25,500 melibatkan 85 saman yang dilakukan dalam tempoh tiga tahun.

Beliau berkata, sepanjang Op Tunggak JPJ telah mengesan dan mengambil tindakan terhadap 172 kenderaan dengan 619 Notis JPJ (P) 22 telah dikeluarkan kepada pemilik kenderaan dan pemandu dari Thailand yang telah melakukan kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) manakala 16 van Thailand telah disita sepanjang tempoh ini.

Dalam pada itu, Aedy Fadly memberitahu, antara kesalahan yang telah diambil tindakan ialah berkait International Circulation Permit (ICP), tiada lesen memandu dan kesalahan-kesalahan teknikal termasuk cermin gelap.

Artikel Berkaitan:

"Sepanjang tempoh operasi ini kami telah berjaya mengutip bayaran saman sebanyak RM425,104 dengan 332 saman tertunggak telah diselesaikan.

"JPJ akan meneruskan penguatkuasaan terhadap kenderaan-kenderaan Thailand bagi meningkatkan POCB (tahap Perception of Being Caught) dalam usaha untuk meningkatkan tahap pematuhan peraturan jalan raya melibatkan warga asing," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!