[VIDEO] Isu padi, beras: KPKM akan bincang dengan PM, kenal pasti situasi menang-menang
KLANG - Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sedang mengenal pasti situasi menang-menang melibatkan semua pihak berkepentingan dalam isu bekalan beras putih tempatan dan harga belian padi.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan bersama Perdana Menteri yang juga Pengerusi Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL), Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam masa terdekat bagi membincangkan isu berkenaan.
Walau bagaimanapun, Ahli Parlimen Kota Raja itu menjelaskan, KPKM memerlukan tempoh masa untuk melakukan sesi libat urus sebelum satu penyelesaian terbaik dapat diumumkan.
"Bagi kami di kementerian, kepentingan pengguna, petani, pengilang dan pengedar perlu dijaga kerana mereka ada peranan masing-masing, sebab itu kita sedang buat libat urus lebih panjang.
"Kita juga akan berbincang bersama NACCOL yang dipengerusikan Perdana Menteri dan dengan persetujuan beliau, kita akan buat perubahan diperlukan," katanya ketika sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen Nasional Parti Amanah Negara (Amanah) 2024, di sini pada Sabtu.
Sebelum ini media melaporkan, Ketua Kluster Makanan NACCOL, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal mendakwa Mohamad gagal menjalankan tugasnya dalam menyelesaikan isu beras putih tempatan yang berlarutan lebih dua tahun di negara ini.

Ahli Parlimen Bukit Gantang itu turut menyifatkan Mohamad tidak bertanggungjawab untuk serius menangani isu keterjaminanan makanan untuk rakyat.
Dalam pada itu, Mohamad yang juga Presiden Amanah memaklumkan, perbincangan bersama Anwar akan dilakukan seawal minggu pertama persidangan Parlimen tahun ini.
Malah menurutnya, beliau bersedia untuk menjawab segala persoalan yang timbul mengenai isu berkenaan pada persidangan itu nanti.
"Kita akan cuba mencari jalan untuk memuaskan semua pihak, kalau tuntutan padi misalnya, harga sepatutnya ditetapkan setakat mana, bagaimana berlaku kenaikan harga beras, bagaimana dengan B40, semua ini akan dibincangkan bersama NACCOL.
"Kita tidak boleh mengumumkan semudah-mudah begitu, (perlu) melalui kajian yang teliti," ujarnya.
habis//
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!