Mat Sabu jamin segerakan libat urus atasi isu padi

Sekumpulan ahli PeSAWAH mengadakan demonstrasi aman di pekarangan Wisma Tani di Putrajaya pada Isnin.
Sekumpulan ahli PeSAWAH mengadakan demonstrasi aman di pekarangan Wisma Tani di Putrajaya pada Isnin.
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memberi jaminan akan menggerakkan libat urus berkaitan tuntutan Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) dalam masa terdekat.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, beliau mengambil tanggungjawab atas dua tuntutan kumpulan itu dan akan mengadakan pertemuan bersama Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) dan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).

"Berkenaan memorandum (PeSAWAH) kepada Perdana Menteri, saya sebagai menteri akan ambil tanggungjawab turun ke KADA, MADA dan tempat-tempat lain yang berkaitan.

"Saya akan mengadakan libat urus berterusan dengan penanam padi," katanya menerusi pesanan WhatsApp kepada pemberita pada Isnin.

Terdahulu sekumpulan ahli PeSAWAH menyerahkan memorandum ke Pejabat Perdana Menteri (PMO) bagi menuntut jaminan kerajaan menyegerakan dua tuntutan berkaitan kenaikan harga lantai padi dan undang-undang kualiti benih.

Pengerusinya, Abdul Rashid Yob berkata, harga lantai padi RM1,300 kini sudah tidak relevan dan Rang Undang-Undang (RUU) Kualiti Benih Tanaman yang dijangka dibentangkan di Parlimen tanpa sebarang rundingan dengan pemegang taruh.

"Wakil Perdana Menteri iaitu Setiausaha Politik, Chan Min Kai telah bersetuju untuk adakan satu perbincangan dan kita harapkan akan ada kata putus secepat mungkin.

"Kita minta PM campur tangan supaya penanaman padi dapat harga dituntut (kerana) harga RM1,300 akibatkan kerugian dengan pembelian tersebut," katanya dalam sidang akhbar di perkarangan Wisma Tani, di sini pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

Memorandum berkenaan melibatkan gesaan peningkatan harga lantai padi daripada RM1,300 per tan kepada RM1,800 ekoran peningkatan pelbagai kos yang terpaksa ditanggung golongan itu.

Selain itu kumpulan tersebut turut membantah RUU Kualiti Benih Tanaman kerana mewajibkan setiap individu memproses dan mengedar benih tanaman untuk memperoleh lesen serta menghantar sampel ke makmal untuk ujian pengesahan.

Sementara itu Min Kai ketika ditemui memaklumkan, beliau sudah menerima memorandum berkenaan dan akan menyerahkannya kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Memorandum itu juga akan disampaikan kepada agensi berkaitan untuk diambil tindakan," jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!