[VIDEO] Kerajaan tidak 'flip flop' dalam isu WBB - Dr Dzulkefly

A
A
A

KLANG - Kerajaan tidak bersikap 'flip flop' atau bertukar-tukar pendirian dalam isu pelaksanaan Waktu Bekerja Berlainan (WBB) melibatkan petugas kesihatan di negara ini.

Sebaliknya, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menegaskan sistem yang masih dalam projek rintis itu didedahkan terlebih dahulu tanpa mendapat kelulusan daripadanya.

Beliau yang juga Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) menjelaskan, kerajaan akan memastikan pandangan semua pihak termasuk petugas kesihatan diambil kira sebelum membuat sesuatu ketetapan.

Dr Dzulkefly
Dr Dzulkefly

“(Pengumuman awal mengenai pelaksanaan sistem WBB) itu satu kesilapan dan saya mahu baikinya. Jadi bagi menyelesaikannya saya batalkan dahulu. Kita akan teruskan dengan mendapat pandangan semua pihak.

“Ingin saya tegaskan ini bukan flip flop seperti mana yang disebutkan tetapi satu ketegasan supaya rakyat tahu apabila melibatkan apa dasar ia harus dilakukan libat urus secara meluas.

“Saya beri keyakinan dan penegasan kepada semua bahawa kita tidak akan flip flip, sebaliknya beri ketegasan apa yang dilakukan ini (untuk kebaikan semua). Doakan semua dapat perbaiki sistem,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Amanah 2024 di salah sebuah hotel di sini pada Ahad.

Jumaat lalu, Dr Dzulkefly mengumumkan projek rintis WBB dibatalkan bagi memberi laluan kepada kajian yang lebih mendalam dan menyeluruh.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, Jemaah Menteri memutuskan perkara tersebut selepas mengambil kira pertimbangan dan pandangan semua pihak.

Justeru, menurutnya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan menubuhkan satu jawatankuasa khas yang bakal dipengerusikan oleh bekas Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Abu Bakar Suleiman.

Sinar Harian melaporkan pelaksanaan WBB bertujuan mengurangkan keletihan dan meningkatkan kualiti hidup serta kebajikan petugas kesihatan.

Difahamkan, sistem tersebut mengurangkan tempoh bekerja ‘on-call’ aktif daripada maksimum 33 jam kepada 18 jam untuk setiap sesi kerja kakitangan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!