Soloz: Game of Life ubah stigma negatif

SOLOZ: GAME OF LIFE
PENGARAH: PELAKON: Hun Haqeem, Ikmal Amry, Syafie Naswip, Noki K-Clique, Hafeez Mikail, Jaa Suzuran, Wafiy, Imran Aqil, Kahoe Hon, Nia Atasha
GENRE: Sukan / Biografi
DURASI: 2 Jam 19 Minit
KLASIFIKASI: 13
TAYANGAN: 23 Jan 2025

BINTANG: KEJAYAAN ikon e-sukan negara, Muhammad Faris Zakaria atau lebih dikenali sebagai Soloz sebagai pemain profesional Mobile Legends: Bang Bang dan penstrim terkenal di Malaysia telah mencetuskan inspirasi kepada ramai anak muda lain.
Faktor itu juga menjadi pencetus kepada Key Billions untuk menghasilkan sebuah filem yang diinspirasikan daripada kisah hidup lelaki berusia 31 tahun itu menerusi Soloz: Game of Life.
Filem arahan pengarah prolifik, Syafiq Yusof itu menyaksikan Hun Haqeem diberi kepercayaan untuk membawakan watak Soloz dan turut dimeriahkan lagi dengan gandingan mantap bersama Ikmal Amry, Syafie Naswip, Noki K-Clique, Hafeez Mikail, Jaa Suzuran, Wafiy, Imran Aqil, Kahoe Hon, Nia Atasha dan ramai lagi.

Karya ini secara ringkasnya mengisahkan perjalanan hidup Soloz daripada dia mula berjinak-jinak dengan permainan komputer sehingga berjaya mengharumkan nama Malaysia di peringkat Asia.
Bukan itu sahaja, filem ini menyaksikan cabaran yang diharungi Soloz dan rakan-rakannya sehingga mereka mula mengenali nilai persahabatan, semangat kesukanan dan persaingan sihat yang menjadi asas kejayaan.
Penulis sejujurnya bukan peminat permainan video, lebih-lebih lagi Mobile Legends, tetapi selepas menonton filem ini, sedikit sebanyak tertarik untuk mencuba.
Mengapa penulis katakan begitu? Tarikan utama filem ini bagi penulis adalah aspek teknikal dan elemen permainan video yang cukup kemas dan menarik.

Kerjasama Syafiq bersama Moontoon nampaknya membuahkan hasil kerana secara tidak langsung menjadikan Soloz: Game of Life lain daripada lain. Pendek kata, ada ketikanya anda terasa seolah-olah bersama bermain permainan video.
Bukan itu sahaja, lakonan mantap pelakon yang terlibat juga mencantikkan lagi filem ini, ditambah pula dengan konflik biasa yang berlaku dalam kalangan mana-mana ibu bapa dan anak yang asyik dengan permainan video.

Bagi penulis, filem ini secara tidak langsung mengubah stigma negatif segelintir ibu bapa terhadap permainan video kerana bukan semua permainan video itu membuang masa.
Namun pesanan Soloz dalam beberapa babak dalam filem ini secara tidak langsung diharap dapat menyedarkan generasi muda bahawa game bukanlah segalanya dalam kehidupan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!