Dua tokan didakwa edar 22kg dadah

JOHOR BAHRU - Dua lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini, pada Jumaat, atas dua pertuduhan mengedar dan memiliki dadah berbahaya lebih 22kg, awal bulan ini.
Tertuduh, Chong Wen Kai, 20, dan Justin Ng Boon Hao, 22, mengangguk faham terhadap semua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah dalam bahasa Mandarin terhadap mereka.
Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan di hadapan Majistret Hidayatul Syuhada Shamsudin.
Berdasarkan kedua-dua kertas pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama mengedar dadah jenis MDMA dengan berat kasar 22,008 gram di sebuah rumah dekat Midori Green, Jalan Mutiara Emas 8, Taman Mount Austin di sini pukul 8.50 malam, pada 10 Januari lalu.
Bagi perbuatan tersebut, mereka didakwa mengikut Seksyen 39B (1) (A) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Mereka juga berdepan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dihukum mati, hendak dikenakan sebatan sehingga 15 kali, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, di hadapan Majistret Nur Fatin Mohamad Farid pula, kedua-dua tertuduh didakwa dengan dua tuduhan memiliki dadah iaitu 270 gram ketamin dan 10 gram nimatezepam di lokasi, masa serta pada tarikh yang sama.
Mereka yang tidak mengaku bersalah bagi kedua-dua pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 12 (3) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan membawa hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aishah Latif dan Amirah Tasnim Saleh.
Tiada sebarang jaminan dibenarkan terhadap kedua-dua mereka dan kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 10 Mac dan 25 Mac depan untuk serahan dokumen, sementara menunggu laporan kimia.
Pada 17 Januari lalu, media melaporkan polis menahan empat individu dan merampas 24kg dadah bernilai kira-kira RM4 juta di dua kondominium di bandar raya ini.
Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar dilaporkan berkata, empat individu ditahan itu adalah dua lelaki tempatan dan dua wanita dipercayai warga Vietnam.
Bagaimanapun, difahamkan, dua wanita warga asing itu dilepaskan dengan jaminan polis bagi dijadikan saksi pendakwaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
