Rumah ditenggelami air lepas lima jam hujan tanpa henti

Muhammad Zul Izzi (dua dari kiri) memantau keadaan banjir di Daerah Yan.
Muhammad Zul Izzi (dua dari kiri) memantau keadaan banjir di Daerah Yan.
A
A
A

YAN – Hujan lebat berterusan selama kira-kira lima jam menyebabkan rumah penduduk di Kampung Titi Teras dan Teroi Bukit, berhampiran Gunung Jerai, di sini ditenggelami air.

Mangsa, Sharip Saod, 75, dari Kampung Titi Teras berkata, hujan lebat tanpa henti sejak jam 10 malam Sabtu menyebabkan air mula naik pada jam 3 pagi Ahad.

Menurutnya, dia bersama isteri dan anak lelaki berusia lingkungan 40-an sentiasa berjaga-jaga memantau paras air sejak malam tadi bagi memastikan keselamatan ahli keluarga terjamin.

“Sejak malam tadi kami berjaga apabila melihat hujan tidak berhenti. Setakat ini keadaan masih terkawal dan barang-barang yang sempat diselamatkan telah dialihkan ke tempat yang lebih tinggi,” katanya.

Sharip di hadapan rumahnya di Kampung Titi Teras, Yan, Kedah.
Sharip di hadapan rumahnya di Kampung Titi Teras, Yan, Kedah.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Ketua Kampung (MKK) Kampung Titi Teras, Kamarudin Arifin, berkata pemantauan setakat ini mendapati kira-kira 20 rumah di kawasan tersebut terjejas.

“Jika diikutkan, sejak awal tahun kawasan ini sudah dilanda banjir lebih lima kali, dengan kejadian terbaharu berlaku pada 20 September lalu.

“Ada penduduk yang sudah berpindah dan ada juga yang kekal di rumah masing-masing. Saya berharap mereka sentiasa bersedia sekiranya cuaca bertambah buruk,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan sama, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Yan, Leftenan (PA) Muhammad Zul Izzi Zulkifli, berkata setakat jam 1 petang Ahad, Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Teroi telah dibuka dengan kira-kira 30 keluarga berdaftar.

“Kami menjangkakan sebuah lagi PPS mungkin dibuka di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Pei Eng dan berkemungkinan menerima tambahan antara lima hingga 10 keluarga yang terjejas,” katanya.

Beberapa buah rumah penduduk di Kampung Titi Teras yang dinaiki air.
Beberapa buah rumah penduduk di Kampung Titi Teras yang dinaiki air.

Beliau turut menasihati mangsa banjir, khususnya warga emas dan golongan berisiko, supaya berpindah sekiranya diarahkan berbuat demikian.

“Kebanyakan warga emas enggan berpindah. Kami sedang memberikan nasihat kepada penduduk yang terjejas supaya bekerjasama dengan pihak berkuasa dan berpindah lebih awal sebelum cuaca menjadi gelap serta bertambah buruk.

“Pemantauan di kampung-kampung terlibat menunjukkan paras air masih berada pada trend yang sama dan berkemungkinan meningkat berikutan pertembungan dengan fenomena air pasang. Oleh itu, air dijangka mengambil masa untuk surut,” katanya.

Beliau berkata, ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia turut menjangkakan hujan berterusan dalam tempoh beberapa hari lagi di kawasan berkenaan.

Sementara itu, data terkini APM Kedah menunjukkan seramai 105 mangsa terjejas membabitkan daerah Yan dan Kuala Muda.

PPS Sekolah Kebangsaan Teroi di daerah Yan menempatkan 65 mangsa, manakala PPS Surau As Saadiah, Gurun di daerah Kuala Muda menempatkan 40 mangsa selepas kediaman mereka dinaiki air.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!