SAM gesa Kerajaan Pulau Pinang jelaskan punca tanah runtuh

GEORGE TOWN – Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa Kerajaan Pulau Pinang memberikan penjelasan berhubung kejadian tanah runtuh di Taman Seri Rambai, Paya Terubong di sini pada Ahad yang mengorbankan seorang doktor.
Presidennya, Meena Raman berkata, kejadian itu amat mengejutkan lebih-lebih lagi kawasan berkenaan diketahui terdedah kepada risiko tanah runtuh dan sedang berlaku kerja pemotongan bukit berskala besar bagi projek pembinaan jalan raya.
Menurutnya, penduduk dan pertubuhan bukan kerajaan sebelum ini telah memberi amaran bahawa kerja-kerja berskala besar di kawasan sensitif alam sekitar itu berisiko mengancam keselamatan penduduk berhampiran serta orang awam.
Beliau berkata, kejadian terbaharu itu sekali lagi menimbulkan persoalan mengenai langkah pemantauan dan mitigasi yang dilaksanakan bagi mengelakkan kejadian seumpama itu.
“Kerajaan negeri mesti menjelaskan bagaimana tragedi ini boleh berlaku dan mengapa kejadian tanah runtuh itu tidak dapat dicegah.
“Keadaan kawasan berkenaan menunjukkan cerun yang terdedah tanpa perlindungan,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
BERITA BERKAITAN: Lelaki maut tertimbus tanah runtuh di belakang rumah
Lelaki maut tertimbus tanah runtuh: 'Bunyi itu sangat kuat kerana dekat dengan rumah' - Saksi
Lelaki maut tertimbus tanah runtuh: Punca dikaitkan projek perumahan disiasat
Doktor tertimbus tanah runtuh ketika siapkan sarapan untuk keluarga
Mayat doktor ditemukan tertimbus bawah konkrit
Tanah runtuh: Arahan henti kerja dikeluarkan terhadap projek pembangunan - MBPP
Tanah runtuh: Penduduk buntu cari tempat tinggal sementara
Terdahulu, seorang doktor berusia 73 tahun ditemukan maut selepas tertimbus dalam kejadian tanah runtuh yang menghempap rumahnya.
Mangsa, Wong Kar Lin ditemui oleh pasukan bomba kira-kira jam 11.21 pagi selepas dipercayai terperangkap di bahagian dapur rumah berkenaan.
Kejadian yang dilaporkan berlaku kira-kira jam 8.36 pagi itu turut melibatkan isteri mangsa, Chang Mei Nuo, 68, dan ibu mertuanya, Wong Poh Lim, 80-an.
Bagaimanapun, kedua-dua mereka terselamat selepas sempat keluar dari kediaman tersebut ketika kejadian berlaku.
Dalam pada itu, Meena turut mempersoalkan sama ada pemantauan cerun dilakukan secara berkala serta mengapa langkah mitigasi yang mencukupi didakwa tidak dilaksanakan bagi mengurangkan risiko kejadian tanah runtuh.
Menurutnya, pihak berkuasa perlu mengambil iktibar daripada kejadian terdahulu dan tidak membiarkan insiden seumpama itu berulang sehingga mengancam nyawa serta keselamatan penduduk.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan negeri mengambil tindakan segera terhadap syarikat yang bertanggungjawab menjalankan kerja-kerja berkenaan sekiranya terdapat kecuaian yang dikenal pasti.
"Langkah pemulihan kawasan terjejas juga perlu dilaksanakan dengan segera selain tindakan pencegahan bagi mengelakkan kejadian sama berulang dan menyebabkan lebih banyak kerosakan atau kehilangan nyawa.
“Ambil tindakan sekarang sebelum lebih banyak kerosakan berlaku dan kenakan tindakan terhadap pihak yang didapati bertanggungjawab atas kecuaian,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

