Banjir kilat landa Kuala Muda dan Yan, dua PPS dibuka

Anggota APM memindahkan mangsa banjir kilat di Yan pada Ahad.
Anggota APM memindahkan mangsa banjir kilat di Yan pada Ahad.
A
A
A

SUNGAI PETANI – Hujan lebat berterusan selama beberapa jam sejak malam Sabtu menyebabkan beberapa kawasan di daerah Kuala Muda dan Yan dilanda banjir kilat dan dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka pada Ahad.

Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Kedah dalam satu kenyataan memaklumkan empat kampung di Mukim Gurun di daerah Kuala Muda terjejas akibat kejadian itu.

Kampung terlibat ialah Kampung Kepala Bukit, Kampung Guar Nenas, Kampung Guar Stesen dan Kampung Sungai Bongkok.

Anggota APM memindahkan mangsa banjir kilat di Kuala Muda pada Ahad.
Anggota APM memindahkan mangsa banjir kilat di Kuala Muda pada Ahad.

"PPS Surau As Saadiah di Kampung Guar Nenas dibuka pada jam 10 pagi bagi menempatkan penduduk yang terjejas.

"Seramai 24 mangsa daripada tujuh keluarga ditempatkan di PPS berkenaan setakat laporan terkini," katanya pada Ahad.

Sementara itu, sebuah lagi PPS dibuka di Sekolah Kebangsaan (SK) Teroi di Yan pada jam 9.30 pagi susulan limpahan air sungai berhampiran yang mengakibatkan beberapa kampung dilanda banjir.

Antara kawasan terjejas di daerah itu ialah Kampung Teroi Bukit dan Kampung Titi Teras.

Artikel Berkaitan:

APM Negeri Kedah berkata, bagaimanapun, jumlah mangsa yang dipindahkan ke PPS SK Teroi masih dalam proses bancian ketika laporan dikeluarkan.

"APM akan terus memantau perkembangan situasi banjir dari semasa ke semasa serta bersiap siaga mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan keselamatan dan kebajikan penduduk terjejas.

"Penduduk khususnya yang tinggal di kawasan berisiko dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan peka terhadap perubahan cuaca serta paras air," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!