Nilai Jualan Rahmah di Perak lebih RM64 juta

IPOH - Perak mencatat jumlah nilai jualan tertinggi bagi Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) tahun lalu sebanyak lebih RM64 juta berbanding hanya RM19.9 juta tahun 2023.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, jumlah tersebut mencatat peningkatan sebanyak 221 peratus.
Menurutnya, sepanjang tahun 2024, KPDN Perak telah berjaya melaksanakan sebanyak 945 PJRM melebihi sasaran yang telah ditetapkan iaitu sebanyak 552 program.
"Jumlah bilangan pengunjung juga meningkat sebanyak 107 peratus iaitu dari 800,754 pengunjung kepada 1.65 juta pengunjung berbanding tahun 2023.
"Tahun ini kita jangkakan nilai jualan serta jumlah pengunjung terus meningkat. Sejak awal tahun 2025 iaitu Januari hingga kini sebanyak 130 program PJRM telah berjaya dilaksanakan di seluruh negeri Perak," katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Pelancaran PJRM Back to School di Bangunan Persekutuan Greentown, di sini pada Jumaat.
Kamalludin berkata, pada tahun 2024 juga sebanyak 36 PJRM Back to School diadakan dan tahun ini sebanyak 37 program telah diatur mengikut jadual dan akan dilaksanakan sepanjang cuti sekolah bermula 18 Januari hingga 16 Februari.
Jelasnya, setiap kawasan Parlimen disasarkan melaksanakan sekurang-kurangnya satu PJRM Back to School berkenaan.
"Objektif pelaksanaan program ini adalah untuk meringankan beban ibu bapa bagi menyediakan kelengkapan barangan keperluan harian dan barangan keperluan sekolah anak-anak melalui penawaran jualan pada potongan harga 10 hingga 30 peratus dari harga pasaran.
"Program ini diteruskan berikutan respons yang positif daripada masyarakat dan ia juga selari dengan pendekatan kementerian melalui 'whole of nation approach' dalam menangani kos sara hidup rakyat," katanya.
Tambahnya, maklumat berkaitan PJRM sepanjang tahun di negeri Perak boleh diperoleh dengan melayari laman rasmi KPDN, mengikuti akaun media sosial rasmi utama KPDN Perak di Facebook KPDN Perak dan TikTok KPDN Perak.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!