Polis Johor tumpas sindiket edar dadah, palsu dokumen peribadi

JOHOR BAHRU – Polis Johor menumpaskan sindiket yang bukan sahaja aktif dalam pengedaran dan pembungkusan dadah, namun turut menghasilkan dokumen termasuk kad pengenalan, lesen memandu dan not wang kertas ringgit Malaysia palsu, minggu lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, sindiket dipercayai mula beroperasi sejak Disember lalu itu ditumpaskan dalam operasi khas dijalankan di empat lokasi sekitar Johor Bahru pada 13 Januari lalu.
Katanya, dalam operasi berkenaan, dua ahli sindiket berusia 30 dan 33 tahun turut ditahan bersama-sama dadah disyaki jenis ekstasi bernilai RM3.68 juta.
“Hasil ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah dan mempunyai rekod jenayah dadah dengan salah seorang daripadanya mempunyai rekod dikehendaki bersabit Seksyen 506 Kanun Keseksaan iaitu ugutan jenayah.
"Polis turut merampas pelbagai peralatan seperti peralatan mencetak kad dan wang tunai palsu yang disyaki digunakan untuk memproses dokumen palsu di salah satu premis yang diserbu, polis turut merampas 13 keping kad pengenalan, lesen memandu serta 18 not kepingan wang palsu RM20, RM10, RM100 selain 10 kad bank, geran kereta dan wang tunai palsu," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini hari ini.

Selain itu, rampasan juga melibatkan 21,811 gram serbuk ekstasi bernilai RM3,642,437, 1.40 gram syabu (RM154) dan 40.28 liter cecair disyaki dadah (RM40,280).
“Polis turut menyita wang tunai RM400, wang tunai asing Kemboja Riel KHR222,000 (RM247.40) dan seutas jam tangan jenama Polo Britannia (RM200) dan ini menjadikan, jumlah rampasan dadah RM3,683,718 dan jumlah bagi sitaaan adalah RM847.40," katanya.
Difahamkan, modus operandi sindiket tersebut adalah menjadikan kenderaaan dan kondominium sebagai stor penyimpanan serta pembungkusan semula dadah untuk pasaran di sekitar daerah Johor Bahru.
Kesemua suspek direman selama 12 hari bermula 14 hingga 24 Januari ini bagi membantu siasatan lanjut di bawah Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebatan.
Tambahnya, siasatan lanjut akan dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Daerah Johor Bahru bawah Seksyen 489b dan 468 Kanun Keseksaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
