Sindiket edar dadah guna bungkusan teh cina tumpas

KOTA TINGGI – Polis menahan seorang lelaki warganegara Indonesia dan merampas dadah bernilai RM158,772 dalam operasi khas di kawasan Sungai Rengit di sini pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata, suspek berusia 31 tahun itu ditahan pada jam 2.45 pagi dalam serbuan yang dilakukan oleh polis marin bersama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi.
“Sindiket pengedaran dadah ini menggunakan bungkusan teh cina sebagai modus operandi bagi mengaburi pihak berkuasa.
"Antara dadah yang dirampas pada serbuan kali ini melibatkan methamphetamine seberat 2,267 gram (RM72,544), ketamin 776 gram (RM38,800) dan serbuk ekstasi 284 gram (RM47,428).
"Rampasan dadah ini mampu menampung keperluan sehingga 16,161 penagih," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, saringan awal ujian air kencing mendapati suspek negatif dadah dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
Katanya, polis turut merampas pasport milik suspek dan menyita wang tunai berjumlah RM100.
Tambah beliau, suspek kini direman selama tujuh hari, bermula Rabu lalu hingga Selasa depan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!