Pemimpin PKR Sarawak didenda RM5,000 hina Agong

Iswardy Morni
Iswardy Morni
A
A
A

KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak, Iswardy Morni didenda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis, atas satu pertuduhan mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan dan menghina Yang di-Pertuan Agong, empat tahun lalu.

Hakim, Datuk MM Edwin Paramjothy memutuskan demikian selepas mendapati Iswardy, 48, bersalah atas satu kesalahan berkenaan.

Mahkamah memerintahkan aktivis itu dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda terbabit.

Semasa memutuskan keputusan terbabit, Edwin berkata, tertuduh dikenakan hukuman itu kerana ini merupakan kesalahan pertamanya.

“Setelah meneliti semua pertimbangan yang relevan dan dalam usaha untuk mencapai hukuman yang mencerminkan kedua-dua elemen pencegahan dan pemulihan, saya mendapati kadar itu adalah bersesuaian,” katanya.

Dalam prosiding ini, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Iznina Hanim Hashim sementara tertuduh diwakili peguam, Faizal Rahman.

Pada 30 Disember tahun lalu, mahkamah mendapati, pihak pembelaan gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah di akhir kes pembelaan tertuduh.

Bagaimanapun, mahkamah menetapkan Khamis untuk mendengar hujahan pihak pendakwaan dan pembelaan yang mewakili Iswardy sebelum menjatuhkan hukuman.

Artikel Berkaitan:

Mengikut pertuduhan, Iswardy didakwa mengeluarkan kenyataan di media sosial Facebook, atas nama Iswardy Morni Official dengan menyebut kata-kata menghasut yang mempunyai kecenderungan bagi mendatangkan penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (ketika itu).

Kesalahan dilakukan di Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman di sini pada jam 3 petang, 29 Mei 2021.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4 (1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda hingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada 4 Oktober tahun lalu, mahkamah memerintahkan lelaki itu membela diri atas pertuduhan terbabit.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!