Kes hina Agong: Pas gesa Peguam Negara segera fail rayuan

Ahmad Fadhli Shaari (kiri), Tangkap layar FB Ketua Penerangan Pas,Ahmad Fadhli Shaari mengenai kes babitkan pemimpin PKR Sarawak
Ahmad Fadhli Shaari (kiri), Tangkap layar FB Ketua Penerangan Pas,Ahmad Fadhli Shaari mengenai kes babitkan pemimpin PKR Sarawak
A
A
A

SHAH ALAM - Peguam negara digesa segera memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen yang hanya mengenakan denda RM5,000 kepada pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak, Iswardy Morni, atas kesalahan menghina Yang di-Pertuan Agong.

Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, rayuan perlu difailkan demi memelihara wibawa institusi diraja dan menjamin keadilan untuk semua rakyat tanpa mengira status.

Dakwanya, sekiranya Peguam Negara gagal mewakili kerajaan untuk memfailkan rayuan terhadap hukuman ringan terbabit akan menambah persepsi bahawa kerajaan tidak serius mempertahankan institusi tertinggi negara.

"Kerajaan mesti memastikan rayuan terhadap hukuman ini difailkan secepat mungkin.

"Kegagalan berbuat demikian bukan sahaja mencemarkan nama baik institusi Raja tetapi juga mengundang ketidakpercayaan rakyat terhadap kesungguhan kerajaan dalam menegakkan kedaulatan undang-undang," katanya menerusi hantaran di Facebooknya pada Khamis.

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman denda RM5,000 ke atas Iswardy atas pertuduhan mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan dan menghina Yang di-Pertuan Agong, empat tahun lalu.

Hakim, Datuk MM Edwin Paramjothy memutuskan demikian selepas mendapati Iswardy, 48, bersalah atas kesalahan berkenaan.

Mahkamah memerintahkan aktivis itu dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda terbabit.

Artikel Berkaitan:

Mengikut pertuduhan, Iswardy didakwa mengeluarkan kenyataan di media sosial Facebook, atas nama Iswardy Morni Official dengan menyebut kata-kata menghasut yang mempunyai kecenderungan bagi mendatangkan penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (ketika itu).

Ahmad Fadhli berkata, hukuman yang diterima Iswardy menimbulkan persoalan besar mengenai keadilan serta ketelusan dalam pelaksanaan undang-undang.

"Bandingkan kes ini dengan kes buruh dan suri rumah yang masing-masing dihukum penjara enam dan lapan bulan atas kesalahan serupa.

"Adakah status politik atau kedudukan sosial menjadi faktor yang mempengaruhi hukuman?" soalnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!