Pengurus projek tak mengaku terima rasuah RM50,000

Zairulnizam (depan) didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada Khamis.
Zairulnizam (depan) didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada Khamis.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang pengurus projek sebuah anak syarikat konsesi lebuh raya didakwa di Mahkamah Sesyen, di sinipada Khamis atas tiga pertuduhan menerima rasuah sebanyak RM50,000 bagi membantu sebuah syarikat pembinaan mendapatkan projek pembinaan lebuh raya, dua tahun lalu.

Bagaimanapun tertuduh, Zairulnizam Rohani, 47 mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Siti Noraida Sulaiman.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah menerima suapan bernilai RM50,000, masing-masing menerusi tiga pemindahan atas talian ke dalam akaun milik isterinya.

Ia sebagai upah buat tertuduh yang juga pengurus projek sebuah anak syarikat konsesi lebuh raya membantu sebuah syarikat pembinaan mendapatkan kerja membina dan menyiapkan projek lebuh raya.

Kesalahan tersebut didakwa dilakukan di sebuah cawangan bank tempatan di Taman Universiti, di sini pada 7, 12 dan 13 Disember 2023.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai suapan atau RM10,000, mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Siti Asmah Zainal Ariffin, manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd Salleh Tugimin.

Sebelum itu, Timbalan Pendakwa Raya memohon mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM30,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan dengan syarat tambahan.

Artikel Berkaitan:

Peguam tertuduh merayu supaya mahkamah menetapkan jaminan rendah mengambil kira faktor kesihatan dan tanggungan empat anak masih belajar, selain ibunya yang menderita sakit tulang belakang (slipped disc).

"Anak guam saya telah digantung tugas sejak Julai tahun lalu dan tidak mempunyai sebarang sumber pendapatan. Akaun peribadi dibekukan, walaupun ketika bekerja menerima gaji sebanyak RM11,000 sebulan sebelum ini.

"Tertuduh juga disahkan doktor pakar mengalami darah beku di otak sejak April 2023, menyebabkan beliau sukar bertutur dengan jelas selain tidak dapat mengingati fakta," ujarnya.

Zairulnizam (kanan) mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Siti Noraida Sulaiman.
Zairulnizam (kanan) mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Siti Noraida Sulaiman.

Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh dijamin RM25,000 dengan seorang penjamin selain pasport antarabangsanya diserahkan kepada mahkamah selain perlu melapor diri setiap bulan di Pejabat SPRM.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 24 Februari depan, bagi penyerahan dokumen.

Pada 21 Januari lalu, media melaporkan, dua individu termasuk Ketua Pegawai Operasi (COO) sebuah syarikat konsesi lebuh raya akan didakwa di mahkamah dalam tempoh terdekat, susulan kes rasuah membabitkan dua projek lebuh raya di Lembah Klang.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, dilaporkan berkata, COO syarikat konsesi itu dijangka didakwa dengan dua pertuduhan mengikut Seksyen 16(A) Akta SPRM 2009, manakala seorang lagi individu yang didakwa ialah pengurus projek sebuah syarikat swasta yang dijangka didakwa dengan tiga pertuduhan mengikut seksyen sama.

Kes berkenaan berhubung Op Lintas membabitkan unsur rasuah Projek Penswastaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang bernilai RM1.05 bilion dan Projek Lebuhraya Bertingkat Damansara Shah Alam bernilai RM4.8 bilion.

Sebelum ini, media melaporkan lapan individu termasuk seorang ketua pegawai eksekutif (CEO) dan dua pengurusan tertinggi syarikat konsesi lebuh raya direman selepas disyaki meminta serta menerima rasuah membabitkan pembinaan dua projek lebuh raya di Lembah Klang.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!