Haram, berdosa besar gunakan agama sebagai bahan jenaka

BERJENAKA tidak salah jika kena dengan caranya, tetapi apa yang menjadi masalahnya apabila ia membabitkan isu-isu agama atau mempersendakan hukum.
Apatah lagi gurauan seperti itu dilakukan oleh seorang figura dikenali ramai dan mempunyai ramai pengikut.
Mahu melawak sekalipun, usahlah melibatkan dalam perkara agama kerana berjenaka hingga mempersendakan dan menjadikan agama sebagai bahan gurauan adalah dilarang keras dalam Islam.
Demikian tegas Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menerusi hantaran terbaharu artikel yang diulang siar di laman sosial Facebook miliknya berkaitan ‘Kebebasan melampau dalam berjenaka’.
Menerusi ayat ke-70 surah al-An’am, ALLAH SWT secara jelas mengingatkan umat Islam agar menjauhi diri daripada orang yang menjadikan agama sebagai bahan permainan dan hiburan.

“Menurut Imam At-Tabari ketika mentafsirkan ayat itu, kita juga disuruh agar mengelakkan diri daripada golongan yang menggunakan ketaatan kepada ALLAH untuk bergurau seperti bermain-main dengan ayat ALLAH SWT.
“Ini kerana kelompok itu mempersendakan al-Quran apabila diperdengarkan dan dibacakan kepada mereka serta saling memalingkan diri daripada kalam ALLAH,” katanya sebagaimana dipetik menerusi artikel yang disiarkan di laman web rasmi pejabat mufti berkenaan.
Perbuatan mempersendakan agama bukan sekadar larangan semata-mata, lebih dahsyat lagi apabila terdapat sebilangan ulama menyatakan bahawa ia adalah haram dan boleh membawa kepada murtad, selain berdosa besar.
Dari segi undang-undang pula, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menegaskan, perbuatan berjenaka dengan mempersenda dan menghina agama menjadi satu kesalahan jenayah syariah.
“Menurut Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997, apa-apa perbuatan menghina agama Islam atau menyebabkan agama Islam dipandang hina serta mengajuk-ajuk atau mencemuh amalan atau upacara yang berhubungan dengan agama Islam boleh disabitkan sebagai suatu kesalahan.
“Hal ini tertakluk di bawah Seksyen 7 (menghina atau menyebabkan dipandang hina dan lain-lain agama Islam) dan Seksyen 8 (mempersendakan dan lain-lain ayat al-Quran atau hadis),” tulis artikel itu.

Justeru, pejabat mufti itu menyeru kepada seluruh umat untuk menolak jenaka yang mempersenda apa jua unsur agama, budaya dan adat masyarakat serta melihat trend itu sebagai ancaman kepada keharmonian hubungan antara agama dan bangsa.
“Perbuatan mengejek suatu amalan atau kepercayaan dalam agama ini pastinya bersumberkan kejahilan yang hanya boleh diubati dengan ilmu pengetahuan sama ada melalui pengajian atau merujuk kepada mereka yang lebih berpengetahuan.
“Dengan sebab kejahilan itulah, maka tidak ada lagi rasa segan silu untuk mengeluarkan kata-kata melalui senda gurau, momokan, jenaka dan mempersenda yang hanya mengesahkan lagi kejahilan yang selama ini tersembunyi di dalam diri,” kata artikel berkenaan.
Dalam pada itu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan turut memberi panduan untuk kita jadikan sebagai petunjuk ketika berjenaka mahupun membuat pengisian di mana-mana platform media sosial.
Berikut perinciannya:
1. Tidak melampaui batas dan meninggalkan kewajipan serta tidak menjadikan maruah seseorang sebagai bahan gurau senda.
2. Tidak menipu dan mempermainkan syiar agama kerana perbuatan mempersendakan agama merupakan dosa besar.
Malah, ALLAH SWT menjanjikan azab yang amat perit kepada mereka yang berbuat demikian.
Ia sebagaimana firman ALLAH SWT: “Dan jauhkanlah diri daripada orang-orang yang menjadikan agama mereka sebagai permainan dan hiburan, dan mereka pula telah diperdayakan oleh kehidupan dunia dan peringatkanlah (mereka) dengan al-Quran itu supaya tiap-tiap diri (di akhirat kelak) tidak terjerumus (ke dalam azab neraka) dengan sebab apa yang ia telah usahakan (daripada perbuatan yang buruk dan keji). Tidak ada baginya pelindung dan tidak juga pemberi syafaat yang lain dari ALLAH. Dan jika ia hendak menebus (dirinya) dengan segala jenis tebusan, (nescaya tebusan itu) tidak akan diterima daripadanya. Mereka itulah orang-orang yang dijerumuskan (ke dalam azab neraka) dengan sebab apa yang telah mereka usahakan. Bagi mereka disediakan minuman daripada air panas yang menggelegak dan azab seksa yang tidak terperi sakitnya, disebabkan mereka kufur ingkar (semasa hidupnya).” (Surah al-An’am: 70)
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!