Produk mengandungi steroid anabolik, tidak berdaftar bernilai RM2.06 juta dirampas

Mohd Zawawi (dua dari kiri) menunjukkan produk-produk kesihatan yang dirampas dalam serbuan Op Pharma 2.0 dan Op Gudang, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak pada Selasa.
Mohd Zawawi (dua dari kiri) menunjukkan produk-produk kesihatan yang dirampas dalam serbuan Op Pharma 2.0 dan Op Gudang, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak pada Selasa.
A
A
A

IPOH - Sebanyak 620 produk mengandungi steroid anabolik, produk tidak berdaftar serta kosmetik tidak bernotifikasi bernilai RM2.06 juta berjaya dirampas dalam Op Pharma 2.0 dan Op Gudang, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak pada Selasa.

Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Farmasi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Mohd Zawawi Abdullah berkata, serbuan dijalankan di enam premis yang dijadikan stor simpanan sekitar bandar raya itu berdasarkan aduan awam dan risikan yang dijalankan sejak Jun 2024.

Mohd Zawawi
Mohd Zawawi

Menurut beliau, siasatan mendapati produk steroid anabolik itu telah disalah guna untuk membina otot badan dan dijual secara meluas di platform e-dagang sejak empat tahun lalu.

"Steroid ini termasuk dalam kategori racun terkawal namun kerap disalah guna hingga mampu merosakkan buah pinggang, menyebabkan penyakit kencing manis, tekanan darah tinggi dan ketidak seimbangan hormon dalam badan.

"Ada juga produk yang tidak berdaftar termasuk makanan tambahan kesihatan dan ubat tradisional telah dirampas dipercayai dibawa masuk dari luar negara tanpa melalui saluran yang sah.

"Kita belum dapat mengenal pasti negara tersebut dan kita sedang mengesan ejen yang membawa masuk produk ini," katanya ketika sidang akhbar di Bahagian Perkhidmatan Farmasi, JKN Perak di Tanjung Rambutan pada Rabu.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri, Nor Huda Mohd Tajuddin; Timbalan Pengarah Cawangan Risikan dan Operasi KKM, Mohd Azaruddin Azis dan Ketua Cawangan Penguatkuasa Farmasi JKN Perak, Zaidi Ahmad.

Artikel Berkaitan:

Mohd Zawawi berkata, seramai enam individu berusia 30 hingga 50 tahun yang merupakan pemilik premis dan pengarah kpd syarikat berkaitan telah diambil keterangan bagi membantu siasatan.

"Dalam serbuan itu, sebuah peranti digital telah dirampas yang mana kita ada kemampuan analisis peranti ini bagi mengenal pasti rangkaian atau sindiket terlibat.

"Empat kertas siasatan telah dibuka untuk tindakan mengikut Seksyen 13(a) Akta Racun 1952 bagi kesalahan memiliki racun berjadual untuk tujuan jualan tanpa lesen sah dan Peraturan 7(1)(a) dan 18A(1)(a) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 kerana penjualan produk tidak berdaftar dan kosmestik tidak bernotifikasi," katanya.

Tambah beliau, pihaknya tidak menerima sebarang laporan daripada mangsa terlibat setakat ini.

"Orang ramai boleh menyemak status pendaftaran ubat atau notifikasi kosmetik dengan melayari www.npra.gov.my di ruangan status produk atau menghubungi Bahagian Regulatori Farmasi Negara di talian 03-78835400.

"KKM komited memerangi isu pembekalan dan penjualan ubat-ubatan yang menyalahi undang-undang menerusi kempen Tolak Ubat Tidak Sah (TOBaTS)," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!