Ustaz Hanafi kongsi kemurahan hati Cef Wan

“KITA nak tolong siapa lagi ustaz? Keluarga kita dulu.”
Demikian antara petikan kata-kata cef selebriti, Datuk Redzuawan Ismail atau dikenali sebagai Cef Wan yang boleh dijadikan sebagai inspirasi buat kita.
Kongsi pendakwah Ustaz Mohamed Hanafiah Abdul Malek atau lebih dikenali sebagai Ustaz Hanafi, Cef Wan begitu gemar bersedekah.
“Ustaz koreklah rahsianya. Masya-ALLAH setiap bulan, minimum RM26,000 untuk membantu keluarganya.
“Walaupun sudah 33 tahun berpisah dengan arwah bekas isterinya, Cef Wan tak pernah lupa menjaga kebajikan ibu kepada dua anaknya itu. Elaun RM5,000 sebulan dan tanggung segala rawatan akibat komplikasi buah pinggang dan jantung hingga ke akhir hayatnya.

“Beliau bantu juga pak cik dan mak ciknya yang susah, fakir miskin atau ibu tunggal. Kalau ibu tunggal, Cef Wan bagi RM5,000 sebulan. Allahuakbar,” coretnya dalam akaun sosial Facebook miliknya pada Rabu.
Semua itu diceritakan sendiri oleh Cef Wan dan pelakon, Datuk Jalaluddin Hassan ketika Ustaz Hanafi menghadiri rakaman bagi sebuah rancangan televisyen sempena Ramadan bersama mereka baru-baru ini.
Rupanya bukan itu sahaja rahsia mengapa nama Cef Wan bertahan lama dalam industri kulinari hingga saat ini.
Cef tersohor itu, kata Ustaz Hanafi, beliau begitu rapat dengan ibunya dan suka menolong ‘syurganya’ itu.
“Walaupun ibunya berbangsa Cina, keluarganya memang banyak kacukan, tetapi dia jaga ibunya sampai saat terakhir ibunya meninggal dunia.

“Boleh tengok cara dia menyantuni ibu dalam media sosial Cef Wan. Sangat lembut, suka berbual, suapkan makan dan bergurau,” kongsinya.
Siapa sangka di sebalik keriuhan mulutnya berceloteh di kaca televisyen mahupun mana-mana acara dihadirinya, Cef Wan juga sebenarnya suka membantu dan membela 50 ekor kucing di rumahnya.
“Kalau baru lepas beranak, kucingnya itu dibarut dan dibalutkan macam dalam habis pantang.
“Banyak perkara yang kita boleh belajar daripada Cef Wan ini. Dari pelbagai resipi dalam dan luar negara, kisah kejayaannya mengharumkan nama sebagai sebagai cef terkemuka dari Malaysia dan kisah dia menyantuni arwah isteri dan ibunya.
“Sekarang pun, kita boleh terus belajar bagaimana beliau terus berjaya dalam perniagaan dan dikhabarkan dalam perancangan membuka cawangan restorannya di New York,” katanya.
Sebagai pesakit kanser berkongsi rasa yang sama, ujar Ustaz Hanafi, Cef Wan melalui ujian kesakitan itu dengan positif dalam setiap proses rawatannya.
Sejak Oktober 2023, Cef Wan menjalani kimoterapi untuk melawan kanser limfoma yang dihadapinya.
Kata Cef Wan: “Saya memang tak fikir sangat tentang sakit yang saya hadapi. Mungkin setengah orang takut dan fikir kanser akan bawa kepada kematian. Saya percaya, saya lebih kuat untuk lawan penyakit ini.
“Insya-ALLAH saya percaya kepada qada dan qadar, jadi saya terima seadanya, usaha buat rawatan. Kalau ditakdirkan kalah dalam perjuangan ini, saya tetap akan pergi. Saya bukan muda lagi.”
Daripada kisah inspirasi Cef Wan itu, Ustaz Hanafi mengajak semua orang untuk terus tenang dan merentasi kehidupan mendatang dengan baik.
Beliau menutup ceritera figura hebat dalam bidang kulinari itu dengan bait mutiara daripada Cef Wan yang penuh bermakna:
“Saya perlu kuat dan sihat kerana saya juga perlu menjaga ramai orang. Insya-ALLAH, ALLAH akan jaga saya.”
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
