5 panduan Islam untuk berjaya

ISLAM mengajar umatnya untuk bersungguh-sungguh dalam urusan dunia tanpa mengabaikan aspek akhirat. Foto Canva
ISLAM mengajar umatnya untuk bersungguh-sungguh dalam urusan dunia tanpa mengabaikan aspek akhirat. Foto Canva
A
A
A

TANPA kita sedari, masa terus bergerak pantas dan setiap hari yang berlalu membawa kita semakin hampir dengan penghujung kehidupan.

Tahun 2025 sudah melabuhkan tirainya dan 2026 telah membuka halamannya. Hakikat ini seharusnya menyedarkan kita bahawa umur bukan sekadar hitungan tahun, tetapi merupakan modal kehidupan yang semakin menyusut.

“Setiap hari yang berlalu mengurangkan baki umur kita, sama ada kita sedar atau tidak,” ujar khatib pada permulaan khutbah Jumaat bertajuk Umur dan tahun baru 2026 yang disediakan Jabatan Mufti Perlis.

Khatib kemudiannya membacakan sepotong hadis, Rasulullah SAW bersabda: “Orang yang paling baik dalam kalangan manusia ialah orang yang panjang umurnya dan baik amalannya. Dan orang yang paling buruk dalam kalangan manusia ialah orang yang panjang umurnya tetapi buruk amalannya.” (Hadis Riwayat At-Tirmizi)

Menurut Jabatan Mufti Perlis, hadis ini mengajar kita bahawa umur yang panjang semata-mata bukan ukuran kebaikan di sisi ALLAH SWT.

“Nilai dan keberakatan umur seseorang bergantung kepada amalan soleh yang dilakukan sepanjang hidupnya.

“Seseorang yang panjang umurnya tetapi dipenuhi dengan amalan yang sia-sia atau maksiat, dia tergolong dalam golongan yang rugi kerana masa dan peluang yang diberikan tidak dimanfaatkan untuk bekalan akhirat,” jelasnya.

Buat perancangan, betulkan niat

Tambahnya, Islam mengajar umatnya supaya menjalani kehidupan secara teratur, fokus dan terarah serta tidak hanyut dalam kelalaian.

Artikel Berkaitan:

SALAH satu panduan Islam untuk berjaya adalah dengan menuntut ilmu. Foto Canva
SALAH satu panduan Islam untuk berjaya adalah dengan menuntut ilmu. Foto Canva

Oleh sebab itu, perancangan dan usaha untuk mencapai kejayaan pada tahun baharu 2026 hendaklah diteruskan dengan penuh tekad dan keikhlasan supaya setiap pekerjaan yang dilakukan menjadi ibadah dan memperoleh keredaan ALLAH SWT.

“Ayat ke-162 surah al-An’am menegaskan seluruh aspek kehidupan seorang Mukmin, termasuk pekerjaan, perancangan hidup dan usaha mencari rezeki hendaklah diniatkan semata-mata kerana ALLAH SWT.

“Apabila niat diperbetulkan, urusan dunia seperti bekerja, mencari nafkah, mengurus keluarga dan merancang masa depan bukan lagi sekadar urusan dunia, bahkan bertukar menjadi ibadah yang bernilai di sisi-NYA,” jelasnya.

Menyambung khutbah, Jabatan Mufti Perlis menjelaskan, Islam menggalakkan umatnya sentiasa melakukan perubahan diri agar menjadi insan yang lebih baik dan berjaya di dunia serta akhirat.

Panduan penting yang diajar Islam untuk menjadi insan yang berjaya:

1 - Islam mengajar umatnya supaya bersungguh-sungguh dalam kehidupan dunia, namun sentiasa meletakkan akhirat sebagai tujuan utama.

Dunia ini hanyalah medan ujian dan ladang bercucuk tanam, manakala hasilnya akan dituai di akhirat kelak.

KEJAYAAN hakiki bukan berjaya dalam kehidupan dunia sahaja, bahkan ia meliputi akhirat juga. Foto Canva
KEJAYAAN hakiki bukan berjaya dalam kehidupan dunia sahaja, bahkan ia meliputi akhirat juga. Foto Canva

2 - Memahami nilai masa sebagai amanah. Islam mendidik kita supaya melihat masa sebagai nikmat dan amanah besar yang tidak boleh disia-siakan.

Setiap detik yang berlalu adalah sebahagian daripada umur kita yang tidak akan kembali. Oleh itu, seorang Mukmin yang sedar tidak akan membiarkan masanya berlalu tanpa perancangan dan tujuan yang jelas.

3 - Menjadikan kerja sebagai ibadah. Pekerjaan boleh menjadi ibadah apabila dilakukan dengan niat yang ikhlas dan tujuan yang betul.

Mencari rezeki untuk keluarga dan menjaga diri daripada meminta-minta dinilai sebagai amalan yang besar di sisi ALLAH SWT.

4 - Menuntut ilmu yang memajukan umat. Islam tidak pernah memisahkan antara urusan dunia dan urusan agama.

Bahkan Islam mengangkat kedudukan ilmu sebagai asas kepada kemajuan umat serta pembinaan tamadun.

TERUSLAH berusaha mengejar kejayaan mengikut panduan yang telah disediakan Islam. Foto Canva
TERUSLAH berusaha mengejar kejayaan mengikut panduan yang telah disediakan Islam. Foto Canva

5 - Menjauhi sikap malas dan suka meminta-minta. Islam mengajar umatnya menjadi insan yang kuat, berdikari dan memberi manfaat kepada orang lain.

Sikap malas dan bergantung kepada orang lain tanpa keperluan menjatuhkan maruah diri dan umat.

Sebagai penutup, khatib berpesan kepada jemaah bahawa setiap detik yang berlalu adalah sebahagian daripada umur kita yang telah pergi dan tidak akan kembali.

“Setiap amal dan usaha kita akan dipersoalkan di hadapan ALLAH SWT. Islam mengajar kita supaya sentiasa memajukan diri, membuat azam baharu dan memperbaiki diri setiap masa.

“Kita tidak perlu menunggu tahun baru sahaja untuk berubah, tetapi boleh terus memajukan diri pada setiap masa dengan ilmu, amalan dan niat yang ikhlas.

“Oleh itu, jadikan setiap langkah, pekerjaan dan pengorbanan sebagai bekalan yang berharga. Dengan cara ini, kita tidak akan menyesal, dapat berjaya di dunia dan akhirnya memperoleh kejayaan sebenar di sisi ALLAH SWT di akhirat kelak,” katanya.

Ringkasan AI

  • Kita perlu menggunakan masa yang ada dengan bijak kerana setiap hari yang berlalu mengurangkan umur kita
  • Nilai umur seseorang ditentukan oleh amalan soleh yang dilakukan sepanjang hidup
  • Islam mengajar untuk menjalani kehidupan secara teratur dengan niat yang betul agar pekerjaan menjadi ibadah
  • Pentingnya membuat perubahan diri dan memajukan diri untuk kejayaan di dunia dan akhirat
  • Setiap detik yang berlalu adalah amanah yang tidak akan kembali, oleh itu kita harus senantiasa memperbaiki diri dengan ilmu dan amalan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!