Al-Fazari perintis astrolab dunia Islam

Ilmuwan agung itu juga teroka sistem angka, terjemah ilmu langit ke bahasa Arab

AL-FAZARI juga terkenal melalui kajian geometri yang amat signifikan bagi membantu kerja-kerja astronomi dan astrologi.
AL-FAZARI juga terkenal melalui kajian geometri yang amat signifikan bagi membantu kerja-kerja astronomi dan astrologi.
A
A
A

SEBELUM kemunculan sistem kedudukan sejagat (GPS), astrolab pernah menjadi peralatan penting yang membantu manusia menavigasi di darat dengan menggunakan bintang sebagai titik rujukan.

Namun, tidak ramai menyedari bahawa Al-Fazari ialah pelopor pencipta astrolab pertama dalam dunia Islam. Namanya ‘tenggelam’ berbanding tokoh lain seperti Mariam Al-Astrolabi dan Abdul Rahman As-Sufi.

Pada abad kelapan, astrolab digunakan untuk mengukur ketinggian bintang serta menentukan waktu solat.

Nama penuh figura hebat ini ialah Muhammad Ibnu Ibrahim Al-Fazari, dilahirkan pada tahun 746 Masihi dan dikenali sebagai ahli astronomi terawal dalam dunia Islam.

Bapanya, Ibrahim Al-Fazari, juga merupakan ilmuwan astronomi dan matematik yang disegani. Menurut scribd.com, Al-Fazari dipercayai berasal dari Arab tetapi banyak menimba ilmu daripada tamadun Parsi.

Sumber lain pula menyebut beliau sendiri berketurunan Parsi. Apa yang pasti, beliau menetap dan berkarya di Baghdad, Iraq, ibu kota empayar Abbasiyah ketika pemerintahan Khalifah Harun ar-Rasyid.

Ubah haluan ilmu falak

Selepas penemuan astrolab oleh Al-Fazari, kemajuan dalam bidang astronomi berkembang pesat. Hal itu turut direkodkan oleh Chaucer dalam karyanya Treatise on the Astrolabe.

Artikel Berkaitan:

BETAPA hebatnya Al-Fazari apabila 1,500 tahun dahulu mampu mencipta sistem dan membangunkan astrolab yang tinggi tahap ketepatannya. -Gambar hiasan
BETAPA hebatnya Al-Fazari apabila 1,500 tahun dahulu mampu mencipta sistem dan membangunkan astrolab yang tinggi tahap ketepatannya. -Gambar hiasan

“Astrolab memainkan peranan penting dalam pencapaian bidang astronomi umat Islam hingga masa-masa berikutnya.

"Tokoh seperti As-Sufi mampu memetakan sekitar 1,000 kegunaan astrolab dalam pelbagai bidang termasuk astrologi, ramalan posisi matahari, bulan, planet dan navigasi,” lapor scribd.com.

Pada abad ke-12, dianggarkan sekitar 800 astrolab tersebar di negara-negara Islam.

“Betapa hebatnya Al-Fazari apabila 1,500 tahun dahulu mampu mencipta sistem dan membangunkan astrolab yang tinggi tahap ketepatannya.

"Astrolab pada masa kini hanyalah perkembangan daripada prinsip dan sistem kerja penemuan Al-Fazari,” lapor Detik News.

Selain mencipta astrolab, Al-Fazari juga aktif menterjemahkan literatur asing serta mengembangkan karya astronomi terdahulu dari India dan Yunani.

Usaha itu seiring visi Khalifah al-Mansur, penguasa Abbasiyah pertama yang menekankan kepentingan ilmu falak dan astrologi.

Baginda mengumpulkan para cendekiawan, termasuk Al-Fazari, untuk menterjemahkan pelbagai kitab penting.

Sistem angka Hindu

Menurut Republika, pada tahun 772 Masihi, Khalifah Al-Mansur meminta Al-Fazari menterjemahkan buku astronomi India Sindhind karya Brahmagupta.

Ketika itu, Al-Fazari sudah menguasai ilmu falak, justeru beliau dapat menyesuaikan teks astronomi India kuno yang amat teknikal.

NAMA Al-Fazari gah sebagai pelopor yang mencipta astrolab pertama dalam dunia Islam yang menjadi peralatan penting membantu manusia menavigasi di darat dengan menggunakan bintang sebagai titik rujukan.
NAMA Al-Fazari gah sebagai pelopor yang mencipta astrolab pertama dalam dunia Islam yang menjadi peralatan penting membantu manusia menavigasi di darat dengan menggunakan bintang sebagai titik rujukan.

“Beliau menamakan terjemahan itu sebagai Zij as-Sinin al-Arab (Jadual Astronomi Berdasarkan Kalendar Arab).

"Dalam kerja terjemahan itu, Al-Fazari dibantu oleh saintis terkenal, Yaqub Ibnu Tariq,” katanya memetik laporan islamdigest.republika.co.id.

Menurut buku Perintis Besar Saintis Muslim dalam Bidang Sains Moden tulisan Ehsan Masood, karya Sindhind amat bernilai bukan sahaja kerana ilmu astronominya, tetapi kerana memperkenalkan sistem pernomboran India kepada dunia Arab iaitu asas kepada apa yang kini dikenali sebagai angka Arab.

“Al-Fazari menyusun zij atau jadual indeks untuk mengira kedudukan objek langit. Pengiraannya menggabungkan kalendar India Kalpa Aharganas dengan pengiraan tahun Hijrah Arab.

"Selain itu, karya beliau turut menyertakan senarai negara di dunia dan dimensinya,” ujar sumber sama.

Kitab Zij as-Sinin al-Arab, juga dikenali sebagai Zij as-Sindhind, menjadi teks astronomi utama pertama dalam dunia Islam serta rujukan penting kepada ahli astronomi generasi seterusnya.

Al-Fazari turut membukukan pandangannya mengenai ilmu astrologi melalui beberapa risalah yang dijadikan rujukan untuk tujuan ramalan.

“Bagi masyarakat Islam, astrologi berkait rapat dengan bidang astronomi kerana kedudukan bintang dan planet dipercayai mempengaruhi kejadian duniawi.

"Tulisan beliau mencerminkan minat umat Islam dalam memahami kosmos serta kesannya terhadap kehidupan manusia,” menurut historymath.com.

PADA abad kelapan, astrolab digunakan untuk mengukur ketinggian bintang serta menentukan waktu solat.
PADA abad kelapan, astrolab digunakan untuk mengukur ketinggian bintang serta menentukan waktu solat.

Selain itu, beliau menghasilkan karya puisi bertajuk Qasida fi-‘Ilm an-Nujum (Puisi tentang Sains dan Astrologi).

Dari segi matematik pula, Al-Fazari terkenal melalui kajian geometri yang amat signifikan bagi membantu kerja-kerja astronomi dan astrologi.

“Geometri digunakan untuk memahami bentuk dan pergerakan benda-benda langit serta membina instrumen seperti astrolab. Karya beliau menyumbang kepada tradisi keilmuan Islam dalam penerokaan geometri yang turut mempengaruhi sains dan seni Islam,” lapor historymath.com.

Sesungguhnya, impak penemuan dan hasil kerja ilmuwan Muslim ini menjangkau jauh melebihi hayatnya serta meletakkan asas bagi kemajuan saintifik dunia Islam dan Barat.

PROFIL

Nama penuh: Muhammad Ibnu Ibrahim al-Fazari

Tempat kelahiran: Kufa, Iraq

Tahun kelahiran: 746 Masihi

Tahun kematian: 806 Masihi

Karya agung:Zij as-Sindhind dan Qasida fi ‘Ilm an-Nujum

Sumbangan utama:

- Menterjemahkan banyak buku sains terutamanya dalam bidang astronomi.

- Mencipta astrolab pertama dalam dunia Islam.

- Memperkenalkan sistem angka Hindu ke dunia Arab.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!