Dondy Tan: Dari gereja ke meja dakwah
Perjalanan rohani pemuda Cina Indonesia mencari kebenaran, kini aktif berdakwah melalui media sosial dan lapangan

TIADA angin tiada ribut, seorang pemuda berbangsa Cina, Dondy Tan Susanto atau lebih dikenali dengan Koh Dondy, terkejut dengan tindakan bapanya yang mula memeluk Islam pada 2007.
Tanpa alasan lanjut, terdetik di hati sanubarinya atas keputusan yang dibuat bapanya itu, sedangkan berdasarkan kepada latar belakang keluarga, mereka merupakan penganut Kristian yang taat.
“Bahkan bapa saya sering berucap di hadapan penganut Kristian di gereja dan saya sendiri dibesarkan dalam kelompok Kristian di Semarang dan Cilapap, Jawa Tengah, Indonesia.
“Sejak kecil saya dibawa ke gereja oleh nenek dan ibu. Gereja itu bahkan seperti rumah kedua saya,” kongsinya kepada Sinar Islam Plus ketika berkunjung ke Karangkraf, Shah Alam, baru-baru ini.
Sambungnya, sejak peristiwa bapanya diberi hidayah oleh ALLAH untuk memeluk Islam, beliau kemudiannya mula memerhatikan masyarakat Muslim di sekelilingnya.
“Saya mahu tahu faktor penyebab bapa memasuki Islam. Ketika itu saya bukan mempelajari Islam, sebaliknya hanya memerhati perangai dan sikap orang Islam itu sendiri.
“Ternyata ada umat Islam yang baik dan ada yang sebaliknya. Dan disebabkan yang tidak baik itu lebih menonjol, maka saya membuat kesimpulan bahawa Islam bukan agama yang baik pada ketika itu,” ujarnya.

Bagaimanapun selepas itu, terdetik di hatinya untuk mula mempelajari ajaran Islam berdasarkan sumbernya dan bukan melalui sikap atau perangai umat Islam itu sendiri.
Kaji perbandingan Kristian, Yahudi dan Islam
Latar belakang Koh Dondy yang sebelum ini mendalami ajaran Kristian membuka ruang untuknya membuat kajian perbandingan agama antara Kristian, Yahudi dan Islam.
Ujarnya, beliau turut mendalami Islam melalui rakaman video-video dakwah dan debat tokoh Islam, Sheikh Ahmed Deedat dan Dr Zakir Naik.
Akhirnya, selepas mendalami Islam melalui sumbernya yang sahih, beliau membuat keputusan untuk memeluk Islam pada 25 Julai 2014 dan mula berguru dengan Habib Haidar Alwi yang berketurunan Arab serta mengajarkan Islam melalui pendekatan kemanusiaan.
“Almarhum habib banyak menekankan hubungan kita dengan ALLAH dan hubungan sesama manusia.
“Bukan hanya soal ibadah, tetapi kasih sayang dan rahmat kepada semuanya,” jelasnya.
Dakwah melalui dialog, debat ilmiah
Tidak menoleh ke belakang lagi, Koh Dondy kini aktif menjalankan dakwah di Indonesia melalui pendekatan dialog dan debat ilmiah mengenai perbandingan agama, selain turun sendiri ke lapangan.
Ujarnya, negara Indonesia itu sangat luas dan dakwah melalui media sosial ini boleh diakses oleh sesiapa sahaja di negara Garuda itu, bahkan sesiapa sahaja boleh melihatnya dengan teknologi sekarang.

“Video perdebatan dan perbincangan bersama pendeta Kristian itu dimuat naik ke media sosial dan dijadikan sebagai bahan rujukan kepada masyarakat.
“Debat harus dilakukan dengan cara terbaik. Tidak boleh menghina agama orang lain dan semua hujah mesti berdasarkan fakta,” jelasnya.
Melalui usaha dakwah itu, ramai individu datang bertemu Koh Dondy untuk bertanya lanjut mengenai agama Kristian dan mengenali Islam dengan lebih mendalam.
Bagi mereka yang mendapat hidayah dan memeluk Islam, pihaknya menyediakan bimbingan percuma termasuk kelas asas ibadah, komuniti sokongan serta bantuan keperluan asas.
Selain dakwah di alam maya, beliau dan pasukannya turut bekerjasama dengan badan-badan Islam di Indonesia seperti Majelis Ulama Indonesia dan banyak program dapat dijayakan termasuk dakwah ke pedalaman dan komuniti minoriti.
Sebelum mengundurkan diri, beliau sempat berpesan kepada umat Islam di Malaysia, terutamanya buat para pendakwah mengenai peri pentingnya ilmu termasuk mengetahui ajaran agama lain.

“Kalau mahu berdakwah kepada orang Kristian, kita perlu faham agama mereka selain memperkukuh ilmu Islam itu sendiri.
“Kita perlu bersifat hikmah atau bijaksana, berilmu dan berakhlak dalam menyampaikan dakwah kepada golongan bukan Islam,” ujarnya.
Ringkasan AI
- Dondy Tan Susanto terkejut bapanya memeluk Islam tanpa alasan yang jelas meskipun keluarga mereka taat beragama Kristian.
- Dondy mula mempelajari Islam selepas melihat perubahan pada bapanya dan membandingkan ajaran Kristian, Yahudi, dan Islam.
- Beliau memeluk Islam pada 25 Julai 2014 selepas mendalami ajarannya dan berguru dengan Habib Haidar Alwi.
- Koh Dondy aktif berdakwah di Indonesia melalui debat ilmiah dan dialog tentang perbandingan agama.
- Beliau menekankan dakwah harus dilakukan dengan cara terbaik tanpa menghina agama lain dan menggunakan hujah berdasarkan fakta.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

