Lelaki takut polis, pecut sampai langgar tembok tabika

Suspek merempuh tembok pagar sebuah tabika kemas ketika melarikan diri daripada polis.
Suspek merempuh tembok pagar sebuah tabika kemas ketika melarikan diri daripada polis.
A
A
A

KEPALA BATAS - Seorang nelayan sanggup memecut keretanya dipercayai untuk melarikan diri kerana tidak mempunyai lesen memandu di Jalan Pasir Gebu di sini.

Lebih teruk, lelaki berusia 20 tahun itu turut merempuh tembok pagar sebuah Taman Bimbingan Kanak-kanak (Tabika) Kemas di Kampung Kanchut, Penaga ketika cubaan melarikan diri dalam kejadian jam 2 petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, anggota Unit Kereta Peronda Ibu Pejabat Daerah (IPD) Seberang Perai Utara mengesan sebuah kereta Proton Waja dalam keadaan mencurigakan ketika melakukan rondaan.

"Selepas mendapati kereta tersebut dalam keadaan mencurigakan, polis mengarahkan supaya memberhentikan kenderaan, namun suspek terus memecut laju.

"Polis mengejar suspek sehingga 2km sebelum dia hilang kawalan lalu merempuh tembok pagar sebuah tabika kemas di Kampung Kanchut, Penaga," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Menurutnya, rempuhan itu menyebabkan kereta itu terus berhenti kerana mengalami kerosakan di bahagian hadapan bumper.

"Kereta peronda polis turut calar di bahagian bumper kerana dilanggar suspek ketika ingin melarikan diri," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

"Suspek kemudian dibawa ke IPD dan ketika siasatan, suspek yang juga seorang nelayan mengakui terlalu takut dengan polis kerana tidak mempunyai lesen memandu," katanya,

Artikel Berkaitan:

Katanya, tiada kecederaan sama ada anggota polis mahu pun suspek dalam kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.