Pelajar China terlibat kes culik dilepaskan sementara dengan jaminan

JOHOR BAHRU - Seorang pelajar lelaki warga China yang didakwa di Mahkamah Majistret di sini, atas satu pertuduhan menculik seorang remaja perempuan dari negara sama tahun lalu dilepaskan sementara dengan jaminan sebanyak RM8,000 pada Isnin.
Majistret, A Shaarmini membenarkan tertuduh, Huang Xiaonan, 23, diikat jamin pada kadar berkenaan dengan dua penjamin warga tempatan selepas mendengar hujahan daripada pihak pendakwaan dan pembelaan.
“Tertuduh juga perlu melaporkan diri di balai polis terdekat sekali setiap bulan,” kata majistret itu.
Dalam prosiding ini, peguam, Kamal Hisham Jaafar dan Muhammad Nor Tamrin yang mewakili tertuduh mengemukakan permohonan tersebut mengikut Seksyen 388 Kanun Tatacara Jenayah (CPC).
Muhammad Nor berkata, seksyen itu memperuntukkan kuasa budi bicara mahkamah untuk memberikan perintah ikat jamin bagi kesalahan-kesalahan yang secara lazimnya tidak boleh dijamin.
Katanya, terdapat keadaan khas dan istimewa yang melayakkan anak guamnya dilepaskan sementara dengan jaminan.
“Selain memerlukan akses kepada perubatan, dia yang masih muda juga perlu menghadiri sesi pembelajaran.
“Nas undang-undang telah menggunakan kuasa budi bicara untuk memberikan perintah ikat jamin bagi kes-kes yang lazimnya tidak diberi ikat jamin seperti pertuduhan menculik ini,” katanya.
Bagaimanapun, pihak pendakwaan membantah permohonan tersebut dan mengekalkan pendirian bahawa tiada sebarang ikat jamin yang ditawarkan kepada tertuduh.
Pada 5 Disember tahun lalu, lelaki berkenaan yang masih belajar di sebuah universiti di Singapura didakwa menculik remaja perempuan itu dengan niat supaya mangsa dikurung secara rahsia.
Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah hotel di Jalan Station di sini pada jam 4.08 petang, 24 November tahun lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Dalam prosiding itu, Majistret R Salini tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 27 Januari ini untuk sebutan semula kes.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!