Pelancong warga China maut ditimpa dahan pokok

SANDAKAN - Seorang pelancong warga China maut akibat ditimpa dahan yang jatuh dari pokok besar ketika berada di Pusat Penemuan Hutan Hujan (RDC) di Sepilok dekat sini pada petang Selasa.
Dalam kejadian kira-kira 2.45 petang itu, mangsa lelaki berusia 74 tahun mengalami kecederaan di kepala sebelum disahkan meninggal dunia Hospital Duchess of Kent (HDOK).
Ketua Polis Daerah Sandakan Asisten Komisioner Abdul Fuad Abdul Malek berkata, kejadian berlaku ketika mangsa yang juga warga emas itu bersama empat ahli keluarganya dalam perjalanan keluar dari RDC tersebut.
"Mereka ketika itu telah selesai melakukan aktiviti mengunjungi pusat pelancongan tersebut.
"Ketika kejadian, dahan dari pokok besar telah terjatuh lalu menimpa kepalanya. Mangsa yang mengalami kecederaan di kepala dibawa ke Unit Kecemasan HDOK untuk rawatan lanjut namun disahkan meninggal dunia pada jam 4.28 petang," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Tambah beliau, kes diklasifikasikan dan disiasat sebagai mati mengejut.
"Mayat kini berada Unit Forensik HDOK untuk bedah siasat yang akan dijalankan pada jam 2 petang esok," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!