[VIDEO] Pegawai rendah polis, dua lelaki Bangladesh direman bantu kes rasuah
GEORGE TOWN - Seorang pegawai rendah polis dan dua lelaki warga Bangladesh direman tiga hari bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah melibatkan wang berjumlah RM29,000.
Perintah reman tersebut dikeluarkan Majistret Mohamad Azlan Basri di Mahkamah Majistret Jenayah 2 di sini pada Rabu.
Pegawai polis berusia 55 tahun manakala dua lelaki Bangladesh berusia 44 dan 52 tahun tiba di pekarangan mahkamah pada jam 8.50 pagi dengan berpakaian lokap.
Mereka dibawa sepasukan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menjalani proses perintah reman.
Menurut sumber SPRM, ketiga-tiga suspek dipercayai menjadi pengantara untuk menyelesaikan kes pergaduhan pengadu yang juga warga Bangladesh pada tahun 2022.

Sumber berkata, ketiga-tiga suspek dikatakan meminta wang daripada pengadu sebanyak RM22,000 pada tahun 2022 sebagai balasan supaya laporan polis ditarik semula sekali gus menyelesaikan kes pergaduhan berkenaan.
"Wang tersebut telah dibayar namun ketiga-tiga suspek masih meminta wang RM10,000 daripada pengadu pada tahun 2024 menjadikan jumlah wang yang diminta adalah RM32,000.
"Bagaimanapun, pengadu hanya menyerahkan wang sebanyak RM7,000 kepada suspek," katanya pada Rabu.
Menurutnya, pegawai polis dan seorang warga Bangladesh ditahan pada tengah hari Selasa, manakala seorang lagi ditahan pada malam, hari yang sama.
"Mereka ditahan ketika memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Pulau Pinang.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(B) ASPRM 2009," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

