[VIDEO] Vivy Yusof, suami didakwa lagi

c
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Pengasas platform e-dagang FashionValet, Datin Vivy Yusof dan suaminya, Datuk Fadzarudin Shah Anuar didakwa lagi di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas satu pertuduhan pilihan, menyalahgunakan dana Khazanah dan PNB milik Fashion Valet Sdn Bhd berjumlah RM8 juta, tujuh tahun lalu.

Vivy atau nama sebenarnya Vivy Sofinas Yusof, 38, dan Fadzarudin, 37, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Rosli Ahmad.

"Tidak bersalah, mohon bicara," kata Vivy yang hadir ke mahkamah dengan memakai baju serba putih bersama Fadzarudin yang mengenakan kot berwarna hitam.

Mengikut pertuduhan pilihan, mereka didakwa secara tidak jujur menyalahgunakan harta milik syarikat Fashion Valet Sdn Bhd iaitu dana pelaburan Khazanah Nasional Berhad dan Permodalan Nasional Berhad berjumlah RM8 juta.

Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah bank cawangan di Bukit Damansara di sini, pada 21 Ogos 2018.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang membawa hukuman penjara antara enam bulan hingga lima tahun, sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

Vivy dan Fadzarudin hadir ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Rabu, bagi menghadapi satu lagi pertuduhan, menyalahgunakan dana Khazanah dan PNB milik Fashion Valet Sdn Bhd berjumlah RM8 juta, tujuh tahun lalu.
Vivy dan Fadzarudin hadir ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Rabu, bagi menghadapi satu lagi pertuduhan, menyalahgunakan dana Khazanah dan PNB milik Fashion Valet Sdn Bhd berjumlah RM8 juta, tujuh tahun lalu.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Haresh Prakash Somiah mencadangkan, mahkamah mengguna pakai jaminan yang sama ditetapkan dalam prosiding lalu, iaitu RM100,000 bagi setiap tertuduh berserta syarat tambahan.

Artikel Berkaitan:

Rosli kemudiannya membenarkan perkara itu, selepas peguam, Ashok Athimulan yang mewakili pasangan suami isteri berkenaan, tidak membantah isu ikat jamin.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 10 Mac depan untuk sebutan semula kes.

Dalam prosiding sama, Haresh memaklumkan, pihak pendakwaan telah menyerahkan tiga set dokumen kepada pembelaan.

Katanya, baki dokumen lain yang akan digunakan untuk perbicaraan kelak, akan diserahkan kepada pihak tertuduh dalam prosiding akan datang.

Pada 5 Disember tahun lalu, pasangan ini mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan pecah amanah dana pelaburan Khazanah dan PNB bagi jumlah sama.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa dengan niat bersama sebagai ejen iaitu Pengarah FashionValet Sdn Bhd, diamanahkan dana pelaburan Khazanah dan PNB, telah melakukan pecah amanah jenayah dengan membuat pembayaran berjumlah RM8 juta dari akaun bank milik syarikat fesyen e-dagang terkemuka ini, ke syarikat 30 Maple Sdn Bhd, tanpa kelulusan Ahli Lembaga Pengarahnya, di sebuah bank sama dan tarikh serupa.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang membawa hukuman pemenjaraan antara dua hingga 20 tahun, sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan setiap tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM100,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan iaitu melaporkan diri di pejabat SPRM sekali setiap bulan, tidak mengganggu saksi dan menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!