Gangguan monyet, babi hutan makin menjadi-jadi

Monyet dilihat memanjat rumah penduduk untuk mendapatkan makanan.
Monyet dilihat memanjat rumah penduduk untuk mendapatkan makanan.
A
A
A

PENDUDUK flat di taman perumahan Bukit Gedung, Bayan Lepas, Pulau Pinang bimbang dengan keselamatan dan harta benda mereka berikutan ancaman monyet dan babi hutan yang menceroboh masuk kawasan kediaman mereka.

Setiap hari, ada sahaja kelibat haiwan liar berkenaan menceroboh masuk ke kawasan perumahan berkenaan.

Lebih membimbangkan, apabila terdapat beberapa ekor monyet menceroboh masuk rumah penduduk untuk mencari makanan.

Menerusi Apa Khabar Rakyat, wartawan Sinar Harian, SYAJARATULHUDA MOHAMAD ROSLI menyingkap permasalaha dialami penduduk di kawasan perumahan berkenaan.

Pengerusi Persatuan Penduduk Flat (Jenis R) Bukit Gedung, Mohd Farook Hassan Ali berkata, ancaman monyet berlaku sejak tiga tahun lalu manakala kehadiran babi hutan pula disedari sejak tahun lalu.

Mohd Farook menunjukkan jarak hutan dengan salah sebuah blok yang terganggu dengan ancaman monyet liar.
Mohd Farook menunjukkan jarak hutan dengan salah sebuah blok yang terganggu dengan ancaman monyet liar.

Katanya, penghuni di Blok 8 dan 10 perumahan itu khususnya yang paling terkesan dengan ancaman kedua-dua spesies haiwan liar terbabit.

Ini kerana katanya, masalah gangguan monyet telah berlanjutan sejak tiga hingga empat tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

“Penduduk terpaksa berdepan dengan haiwan yang dipercayai datang dari hutan di belakang Blok 8 dan 10. Mereka kini hidup dalam kebimbangan ekoran ancaman berterusan sekumpulan monyet yang semakin aktif menceroboh kawasan ini.

“Kejadian ini bukan hanya mengganggu ketenteraman hidup penduduk malah turut mengancam keselamatan, terutama dalam kalangan kanak-kanak apabila mereka berada di luar rumah,” katanya kepada Sinar Harian.

Tambah beliau, masalah gangguan monyet itu bukan perkara baharu, namun ia dilihat semakin serius susulan kehadiran lebih banyak monyet sejak kebelakangan ini.

“Gangguan monyet sering berlaku terutama pada waktu pagi dan petang. Monyet-monyet ini akan memanjat tingkap dan balkoni untuk mencari makanan. Kami sudah cuba untuk tidak meninggalkan sisa makanan tetapi mereka tetap datang.

Beberapa ekor monyet berkeliaran mencari sisa makanan di kawasan flat berkenaan.
Beberapa ekor monyet berkeliaran mencari sisa makanan di kawasan flat berkenaan.

“Kanak-kanak yang bermain di luar rumah berisiko menjadi sasaran serangan haiwan liar ini, sekali gus meningkatkan kebimbangan kami sebagai penduduk jika berlaku kejadian tidak diingini,” katanya.

Jelasnya lagi, aktiviti penduduk di situ agak terbatas kerana mereka hidup dalam kebimbangan terutamanya apabila terserempak dengan kedua-dua spesies haiwan liar tersebut ketika berada di luar kediaman masing-masing.

“Memang belum ada kes penduduk diserang monyet atau babi hutan setakat ini namun kami bimbang haiwan-haiwan ini akan mengancam keselamatan penduduk suatu hari nanti.

“Nak tinggal rumah lama-lama pun risau kerana haiwan ini akan menyelongkar tong sampah untuk mencari makanan. Kami bimbang haiwan ini akan menceroboh masuk ke dalam rumah jika gagal mendapatkan makanan,” tambahnya.

Selain itu, kata Mohd Farook, babi hutan dipercayai dari hutan berhampiran juga kerap muncul pada waktu malam dan pagi di kawasan flat berkenaan.

Katanya, faktor seperti kekurangan makanan dan gangguan terhadap ekosistem mungkin menjadi penyebab utama haiwan liar terbabit keluar dari habitat mereka.

“Babi hutan ini bukan sahaja merosakkan tanaman di kawasan perumahan malah ia juga menimbulkan bahaya jika bertembung dengan penduduk.

“Haiwan ini selalu muncul di kawasan gelanggang sepak takraw berhampiran flat sehingga menyebabkan penduduk tidak berani untuk beriadah,” katanya.

Justeru beliau berkata, penduduk menggesa Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) serta Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) untuk mengambil tindakan yang lebih efisien bagi mengatasi masalah tersebut.

“Perhilitan memang ada datang memasang perangkap tapi macam tidak cukup kerana setiap hari jumlah haiwan liar yang menceroboh bertambah.

“Kami harap pihak berkuasa memasang lebih banyak perangkap atau mengambil langkah kawalan populasi haiwan liar ini supaya keselamatan penduduk terjamin,” tambahnya.

Kata Mohd Farook, kebimbangan penduduk bertambah apabila sebuah projek perumahan baharu akan dibangunkan di kawasan berhampiran.

“Di belakang Blok 8A ini akan ada pembangunan rumah mampu milik. Hutan ini akan dibersihkan dan sudah tentu ia boleh menarik lebih banyak haiwan liar lari ke sini.

"Memang pemaju berjanji akan bina tembok tetapi sebelum tembok dibina mesti akan ada haiwan liar yang lari terlebih dahulu dan masuk ke kawasan kediaman kami,” katanya.

Perlu kerjasama penduduk untuk tangkap haiwan liar

Sementara itu, Pengarah Perhilitan Pulau Pinang, Mohd Zaide Mohamed Zin berkata, pihaknya telah memasang perangkap untuk menangkap monyet dan babi hutan di kawasan perumahan tersebut sejak tahun lalu.

Mohd Zaide
Mohd Zaide

Menurutnya, pihaknya juga sering menjalankan kerja-kerja pemantauan berkala di situ.

“Masalah di kawasan Flat Bukit Gedung memang dalam pemantauan kita. Daripada maklumat penduduk, haiwan liar di situ hanya berkeliaran di luar kediaman sahaja.

“Kita sudah memasang beberapa buah perangkap di kawasan ini yang mana lokasinya telah diubah sedikit dari kawasan flat ke dalam kawasan kem tentera berdekatan,” katanya kepada Sinar Harian.

Selain perangkap beliau berkata, petugas Jabatan Perhilitan juga ditempatkan di kawasan tersebut untuk operasi menembak haiwan liar berkenaan.

Katanya, rondaan turut dijalankan sebanyak beberapa kali dalam seminggu terutamanya pada waktu pagi dan senja bagi memantau kehadiran spesies haiwan liar berkenaan.

Gambar seekor babi hutan mencari makan pada waktu senja berjaya dirakamkan oleh penduduk setempat.
Gambar seekor babi hutan mencari makan pada waktu senja berjaya dirakamkan oleh penduduk setempat.

“Pasukan kami akan memantau kehadiran monyet pada waktu pagi manakala babi hutan pula pada waktu petang.

"Babi hutan keluar pada waktu senja selepas 7 malam. Biasanya babi hutan keluar selepas hujan atau pada waktu sunyi,” tambahnya.

Jelasnya, sebanyak lapan ekor babi hutan dan 93 ekor monyet telah dilupuskan sepanjang tahun lalu di Bukit Gedong dan Kem Tun Razak.

Bagaimanapun katanya, bantuan penduduk diperlukan untuk menangkap haiwan itu terutamanya untuk meletakkan umpan di dalam perangkap.

“Jika lebih banyak umpan diletakkan, ia akan lebih menarik minat haiwan ini. Jadi senang untuk kita memerangkapnya. Sekarang memang ada umpan tetapi terhad,” tambahnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!