Pulau Pinang rekod penurunan penggunaan air domestik terendah pada 2024

GEORGE TOWN - Pulau Pinang merekodkan penurunan penggunaan air domestik per kapita terendah dalam tempoh 24 tahun dengan purata 261 liter per kapita sehari (LKH) pada tahun lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Datuk K Pathmanathan berkata, ia menunjukkan penurunan sebanyak 23 LKH atau 8.1 peratus berbanding 284 LKH pada tahun 2023.
Menurutnya, penggunaan 261 LKH adalah yang terendah sejak tahun 2000 apabila rakyat Pulau Pinang hanya menggunakan 255 LKH.
"Walaupun terdapat pengurangan per kapita, jumlah keseluruhan penggunaan air domestik meningkat sebanyak 39.8 peratus sejak tahun 2000, selari dengan pertambahan populasi daripada 1.3 juta kepada 1.8 juta pada tahun 2024.
“Walaupun sasaran 256 LKH tidak tercapai, pengurangan kepada 261 LKH adalah pencapaian besar yang hanya kurang 1.9 peratus daripada sasaran,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Beliau menambah, tiga faktor utama yang menyumbang kepada penurunan penggunaan air domestik iaitu semakan kadar air domestik, kesedaran awam meningkat dan pelaksanaan Kempen 'Kurangkan 10%'.
"Pada Februari 2024, PBAPP memperkenalkan kadar air domestik baharu selaras dengan peraturan kerajaan persekutuan. Walaupun terdapat rebat enam bulan bagi penggunaan 10 meter padu pertama, kadar baharu ini mendorong isi rumah untuk lebih berjimat cermat.
"Selain itu, fenomena El Nino yang melanda pada 2023 dan 2024 memberi kesan kepada kapasiti empangan utama, termasuk Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang. Selain itu, liputan media yang meluas tentang isu kekurangan air di Pulau Pinang berjaya meningkatkan kesedaran rakyat untuk menggunakan air secara bijak.
"Sementara itu, PBAPP juga giat melaksanakan Kempen ‘Kurangkan 10%’ yang mana, ia kempen penjimatan air dengan mengeluarkan tujuh siaran media sepanjang 2024. Pelbagai tip penjimatan air turut dikongsikan, termasuk mengurangkan kekerapan mencuci kenderaan dan tidak menggunakan hos air untuk membersihkan rumah," jelasnya.
Kata Pathmanathan, walaupun pencapaian itu dilihat membanggakan, pihaknya mengingatkan pengguna bahawa status bekalan air negeri masih tidak stabil.
"Setakat 20 Januari 2025, kapasiti efektif Empangan Air Itam berada pada paras 78.3 peratus, manakala Empangan Teluk Bahang hanya mencatatkan 60.1 peratus.
"Ramalan cuaca antarabangsa menunjukkan tahun ini mungkin menyaksikan fenomena El Nino Southern Oscillation (ENSO) atau La Nina sederhana, yang boleh menjejaskan paras air empangan," ujarnya.
Beliau berkata, PBAPP akan menetapkan sasaran penggunaan air domestik baharu untuk tahun ini tidak lama lagi.
"Jika purata nasional adalah 237 LKH dan Singapura hanya menggunakan 141 LKH, rakyat Pulau Pinang juga mampu mengurangkan lagi penggunaan air mereka," tambahnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!