'Cadangan peribadi Datuk Bandar Ipoh' - Kah Leong

TELUK INTAN - Pelaksanaan dasar larangan penjualan minuman keras oleh premis di kawasan majoriti penduduk beragama Islam merupakan pandangan peribadi Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin.
Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Kebangsaan, Woo Kah Leong berkata, setiap pihak boleh melontarkan cadangan masing-masing berhubung pelaksanaan di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.
"Ini cuma cadangan peribadi daripada Datuk Bandar Ipoh. Di zaman demokrasi ini, setiap orang boleh bagi cadangan," katanya di sini pada Selasa.
Beliau juga Exco Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi, Hal Ehwal Pengguna dan Kampung Baru Cina Perak turut menempelak kenyataan MCA Perak yang mengecam pemimpin kerajaan negeri.
"Saya hadir dalam setiap mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) negeri, isu ini tidak pernah dibincangkan malah untuk mesyuarat akan datang pun, agenda ini tidak disenaraikan.
"Jadi saya jemput MCA untuk datang ke bilik Menteri Besar (Datuk Seri Saarani Mohamad) esok dan bertanya sendiri kepada beliau selaku Pengerusi BN Perak sama ada sekatan pembelian arak ini telah diperluaskan di Perak atau tidak," katanya.
Sinar Harian pada Sabtu melaporkan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) akan memperluaskan pelaksanaan dasar larangan penjualan minuman keras oleh premis di dalam kawasan majoriti penduduk beragama Islam seperti dilaksanakan di Gugusan Manjoi di sini sebelum ini.
Rumaizi berkata, mesyuarat di peringkat MBI telah meluluskan dasar untuk membuat kajian jika terdapat tuntutan penduduk majoriti Muslim sebelum larangan penjualan minuman keras dikuatkuasakan.
Bagaimanapun Ketua Penerangan MCA Perak, Chung Kok Heung mempersoalkan kenapa pemimpin DAP dan PKR menafikan sedangkan ia disahkan oleh Datuk Bandar.
Dalam kenyataan berbahasa Mandarin pada Isnin, kok Heung meminta orang ramai berwaspada dengan perkembangan itu dan mendesak supaya hak orang bukan Islam dilindungi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!