Isu arak: Dr Akmal tempelak kenyataan MCA Perak

MELAKA - Pemuda UMNO menempelak kenyataan MCA Perak yang mengecam pemimpin kerajaan negeri susulan sekatan jualan arak di Ipoh, Perak.
Ketuanya, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, pihak berkenaan jangan menjadi bodoh kerana larangan yang dilaksanakan seperti di Gugusan Manjoi, Perak sebelum ini dikenakan ke atas kawasan yang majoritinya penduduknya beragama Islam.
Menurutnya, masyarakat bukan Islam bebas menjalankan urusniaga penjualan arak di negara ini namun bukanlah di kawasan penduduk beragama Islam.
"Kalau kamu nak jual beli arak itu hak kamu, tapi bukan di tempat majoritinya Muslim!
"Dan rasanya tiada pun ditulis menghalang orang bukan Islam nak minum dan beli, tetapi jangan jual beli di tempat majoritinya Muslim," katanya menerusi hantarannya di media sosial, Facebook.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau bersedia untuk berdepan dengan pihak terbabit sekiranya masih tidak memahami mengenai larangan yang telah dikuatkuasakan itu.
"Kalau kamu tak faham, sila set masa dan tempat kami datang beri faham depan-depan," katanya.
Pada 18 Januari lalu, media melaporkan MBI akan memperluaskan pelaksanaan dasar larangan penjualan minuman keras oleh premis di dalam kawasan majoriti penduduk beragama Islam seperti dilaksanakan di Gugusan Manjoi di sini sebelum ini.
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, mesyuarat di peringkat MBI telah meluluskan dasar untuk membuat kajian jika terdapat tuntutan penduduk majoriti Muslim sebelum larangan penjualan.
Bagaimanapun Ketua Penerangan MCA Perak, Chung Kok Heung mempersoalkan kenapa pemimpin DAP dan PKR menafikan sedangkan ia disahkan oleh Datuk Bandar.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

