MCA perlu hormati sensitiviti Islam, Melayu

Zaim Sidqi
Zaim Sidqi
A
A
A

IPOH - Angkatan Muda Keadilan (AMK) Perak menyifatkan MCA gagal melaksanakan tanggungjawab dalam kerajaan Perpaduan apabila menyerang DAP dan PKR berhubung larangan penjualan minuman keras di kawasan majoriti penduduk beragama Islam.

Ketua AMK Perak, Zaim Sidqi Zulkifly berkata, kenyataan Ketua Penerangan MCA Perak, Chung Kok Heung itu dilihat tidak berasas dan disifatkan hanya meraih perhatian politik semata-mata.

Menurutnya, MCA seharusnya memainkan peranan yang lebih baik dan bukannya melemparkan tuduhan liar kepada rakan-rakan gabungan dalam Kerajaan Perpaduan.

"Isu sekatan jualan arak ini bukanlah perkara baharu malah ia dilaksanakan berdasarkan sensitiviti masyarakat setempat.

"MCA seharusnya memahami bahawa kerajaan negeri sentiasa mengutamakan keharmonian kaum dan agama, terutama di kawasan yang majoriti penduduknya beragama Islam.

"Namun, serangan MCA terhadap DAP dan PKR ini hanya mencerminkan sikap mereka yang tidak konsisten dalam menyokong agenda perpaduan negara," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.

Tambah Zaim Sidqi, pihaknya menuntut MCA untuk segera menarik balik kenyataan tidak bertanggungjawab itu dan memberi tumpuan kepada isu-isu yang benar-benar penting untuk rakyat.

Tegasnya, isu sensitif tersebut janganlah dijadikan sebagai alat politik untuk kepentingan diri.

"AMK Perak akan terus menyokong dasar-dasar kerajaan negeri yang menjunjung prinsip keadilan, keharmonian dan sensitiviti masyarakat.

Artikel Berkaitan:

"Serangan tidak berasas seperti ini hanya akan merosakkan perpaduan dalam kalangan rakyat dan Kerajaan Perpaduan itu sendiri," katanya.

Media melaporkan MCA Perak mengecam pemimpin kerajaan negeri berhubung peluasan sekatan jualan arak di Ipoh dan mempersoalkan penafian yang dibuat DAP dan PKR berkaitan perkara tersebut.

Kok Heung mendakwa seorang ahli Majlis Bandar Raya Ipoh daripada DAP dan exco kerajaan negeri daripada PKR, Sandrea Ng memaklumkan belum ada sebarang keputusan berkaitan sekatan itu.

Sinar Harian melaporkan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) akan memperluaskan pelaksanaan dasar larangan penjualan minuman keras oleh premis di dalam kawasan majoriti penduduk beragama Islam seperti dilaksanakan di Gugusan Manjoi, di sini sebelum ini.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, mesyuarat di peringkat MBI telah meluluskan dasar untuk membuat kajian jika terdapat tuntutan penduduk majoriti Muslim sebelum larangan penjualan minuman keras dikuatkuasakan.

Rumaizi mendedahkan terdapat beberapa kawasan lain dikenal pasti mengemukakan permintaan agar tiada jualan minuman keras di tempat mereka termasuklah di Tambun, Rapat Setia dan Sungai Rokam.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!