Tiada jualan arak di kawasan majoriti penduduk Muslim di Ipoh - MBI

Rumaizi (tiga dari kiri) selepas menyempurnakan Majlis Pembukaan Restoran Feng Cha TLF, di Pusat Perdagangan Canning II di sini pada Sabtu.
Rumaizi (tiga dari kiri) selepas menyempurnakan Majlis Pembukaan Restoran Feng Cha TLF, di Pusat Perdagangan Canning II di sini pada Sabtu.
A
A
A

IPOH - Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) akan memperluaskan pelaksanaan dasar larangan penjualan minuman keras oleh premis di dalam kawasan majoriti penduduk beragama Islam seperti dilaksanakan di Gugusan Manjoi di sini sebelum ini.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, mesyuarat di peringkat MBI telah meluluskan dasar untuk membuat kajian jika terdapat tuntutan penduduk majoriti Muslim sebelum larangan penjualan minuman keras dikuatkuasakan.

Menurutnya, sekitar tahun 2020 dan 2021, larangan penjualan minuman keras itu sudah dilaksanakan di kawasan Gugusan Manjoi susulan bantahan besar-besaran oleh penduduk setempat.

"Tapi sekarang ini ada kelompok penduduk di kawasan majoriti Melayu yang luar daripada Gugusan Manjoi yang mendesak buat macam Manjoi juga (larangan penjualan minuman keras).

"Saya beri contoh macam kawasan kampung saya dekat Ulu Chepor. Memang Ulu Chepor ini macam Manjoi juga, 100 peratus penduduk Melayu Islam, jadi mereka pun nak buat macam Manjoi juga. Secara prinsipnya kita setuju," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Pembukaan Restoran Feng Cha TLF, di Pusat Perdagangan Canning II di sini pada Sabtu.

Rumaizi berkata, beberapa kawasan lain dikenal pasti mengemukakan permintaan agar tiada jualan minuman keras di tempat mereka termasuklah di Tambun, Rapat Setia dan Sungai Rokam.

Menurutnya, perkara tersebut masih dalam peringkat kajian sebelum dilaksanakan kerana mengambil kira kesesuaian serta pandangan pelbagai pihak.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, setakat ini hanya kawasan Gugusan Manjoi sahaja dilaksanakan dan kawasan-kawasan lain masih dalam penelitian terperinci walaupun memang terdapat tuntutan daripada penduduk.

"Banyak kawasan yang majoriti Melayu macam Manjoi nak buat macam Manjoi (tiada jualan minuman keras). Jadi kita kena layan semua pihak, tak boleh kita cakap tak boleh pula.

"Kalau perlu pendengaran awam, kita buat pendengaran awam. Kita tengok macam mana pelaksanaannya," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!