[VIDEO] Kerajaan Perpaduan minta henti polemik isu sembunyi Titah Adendum - Fahmi

A
A
A

TUMPAT - Semua pihak diminta supaya tidak terus polemik isu Kerajaan Perpaduan didakwa menyembunyikan Titah Adendum sebagaimana dibangkitkan kembali oleh Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, perkara itu tidak sepatutnya ditimbulkan selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memberikan penjelasan secara menyeluruh berkaitan isu tersebut.

"Berpandukan kepada penjelasan yang dibuat oleh Perdana Menteri semasa di Pulau Pinang lalu, saya rasa beliau (Tengku Razaleigh) tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan itu.

"Kami (Kerajaan Perpaduan) tidak pernah sorok, tidak pernah lihat (titah). Perdana Menteri tidak pernah terima dan beliau (Anwar) telah jelaskan dokumen tersebut berada di Istana Negara," katanya semasa sidang akhbar selepas merasmikan Program Ihsan Komuniti Madani di Kampung Baru Nelayan, di sini pada Isnin.

Fahmi meminta semua pihak tidak terus polemik isu Kerajaan Perpaduan didakwa menyembunyikan Titah Adendum sebagaimana dibangkitkan kembali oleh Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.
Fahmi meminta semua pihak tidak terus polemik isu Kerajaan Perpaduan didakwa menyembunyikan Titah Adendum sebagaimana dibangkitkan kembali oleh Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.

Beliau berkata demikian selepas mengulas kenyataan Tengku Razaleigh atau lebih dikenali sebagai Ku Li yang mahu Anwar bertanggungjawab kerana didakwa menyembunyikan Titah Adendum tahanan rumah dikurniakan Yang di-Pertuan Agong kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurut Fahmi, Tengku Razaleigh sepatutnya memahami penjelasan telah diberikan Perdana Menteri sebelum ini.

"Saya rasa kalau Yang Mulia (Tengku Razaleigh) dengar penjelasan yang dibuat (saya) dua minggu lalu dan penjelasan oleh Perdana Menteri, beliau (Tengku Razaleigh) tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan itu," katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, Anwar perlu bertanggungjawab kerana didakwa menyembunyikan Titah Adendum tahanan rumah yang dikurniakan Yang di-Pertuan Agong kepada Najib.

Artikel Berkaitan:

Tengku Razaleigh berkata, ini kerana tindakan tersebut secara tidak langsung menghalang proses keadilan terhadap bekas Ahli Parlimen Pekan itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!