Maritim tahan bot bawa petrol, tong gas abai aspek keselamatan di Tawau

Maritim Malaysia menahan sebuah bot kargo yang membawa muatan bahan api dan gas memasak kerana didapati mengabaikan aspek keselamatan pada Isnin. - Gambar hiasan
Maritim Malaysia menahan sebuah bot kargo yang membawa muatan bahan api dan gas memasak kerana didapati mengabaikan aspek keselamatan pada Isnin. - Gambar hiasan
A
A
A

TAWAU - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan sebuah bot kargo yang membawa muatan bahan api dan gas memasak kerana didapati mengabaikan aspek keselamatan dekat sini pada Isnin.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, bot membawa tong dram berisi minyak petrol serta diesel dianggar 10,600 liter bersama 411 tong gas itu ditahan pada 8.30 malam di kedudukan 0.7 batu nautika selatan Jeti Kastam ketika dalam perjalanan dari perairan Tanjung Batu ke Sebatik.

Beliau berkata, terdapat tiga lelaki tempatan berumur lingkungan 33 hingga 45 tahun dalam bot berkenaan dan pemeriksaan mendapati mereka memiliki dokumen sebagai pembekal barangan bersubsidi ke Pulau Sebatik.

"Aspek keselamatan juga perlu dititikberatkan oleh pengusaha bot terutamanya ketika membawa muatan yang berbahaya seperti produk petroleum bagi mengelakkan kejadian tidak diingini," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Shahrizan berkata, kes itu disiasat mengikut Akta Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 dengan nilai rampasan termasuk bot kargo kira-kira RM136,000.

Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan sebarang salah laku jenayah di perairan Tawau agar menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Tawau di talian 089-752116 atau talian kecemasan 999. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!