Tahun Melawat Kedah 2025 cuba disabotaj

Dianggarkan 167 acara pelancongan berskala nasional dan antarabangsa ditawarkan sepanjang TMK 2025 melibatkan semua 12 daerah di negeri ini. - Foto: SUK Kedah
Dianggarkan 167 acara pelancongan berskala nasional dan antarabangsa ditawarkan sepanjang TMK 2025 melibatkan semua 12 daerah di negeri ini. - Foto: SUK Kedah
A
A
A

BARU sahaja menjengah minggu kedua tahun 2025, kita dicemari dengan cubaan pihak tertentu yang seakan mahu mensabotaj Tahun Melawat Kedah 2025 (TMK 2025) yang bermula pada 1 Januari.

Netizen disajikan dengan laporan melulu berkaitan pelancongan Kedah menerusi media sosial, bukan satu tetapi dua laporan tersebut begitu ‘rapuh’ tanpa disertakan bukti.

Sekadar persepsi segelintir pihak yang mahu raih laba politik berikutan Kedah di bawah pentadbiran Pas.

Namun Exco Pelancongan negeri, Datuk Mohd Salleh Saidin tangkas menepis dakwaan dengan mengemukakan fakta dan data berkaitan.

Menurut Mohd Salleh, dakwaan kemasukan pelancong ke Langkawi merosot bukan berlandaskan fakta kerana pulau lagenda tersebut sering dikunjungi pelancong sama ada domestik mahupun antarabangsa.

Berdasarkan fakta, Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) merekodkan jumlah ketibaan pelancong di Langkawi sebanyak 2,581,605 pada tahun 2022, meningkat kepada 2,810,322 (2023) dan setakat September 2024 (222,541) menghampiri 3 juta seperti disasarkan.

Konsortium Ferry Line Ventures Sdn Bhd pula merekodkan jumlah penumpang yang menggunakan perkhidmatan feri dari Kuala Kedah dan Kuala Perlis ke Langkawi sejak 20 Disember seramai 99,417 orang.

Malah pada hari pertama tahun ini, Langkawi menerima 4,000 pelancong menerusi 27 penerbangan masuk di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LTAL).

Artikel Berkaitan:

Jadi bagaimana dikatakan pelancongan Kedah khususnya Langkawi merudum?

Sabarlah belum pun habis bulan pertama Januari, usah menilai sama ada kempen TMK 2025 mendapat sambutan.

Pada pandangan mata kasar mungkin tidak nampak promosi dan kehadiran pelancong domestik atau antarabangsa kerana ia baharu bermula. Tidak adil untuk buat rumusan awal kononnya TMK 2025 gagal.

Usahlah selitkan elemen politik dalam sektor pelancongan, jika ingin jentik kerajaan negeri pimpinan Pas, carilah isu lain yang lebih konkrit. Jangan sabotaj usaha murni kerajaan negeri dalam merancakkan pelancongan negeri ini.

Jika ada yang ingin memeriahkan TMK 2025, penulis sebagai anak jati Kedah amat mengalu-alukan kehadiran orang ramai dari setiap negeri. Rujuklah kalendar TMK 2025 yang dipenuhi pelbagai acara pelancongan.

Dianggarkan 167 acara pelancongan berskala nasional dan antarabangsa ditawarkan melibatkan semua 12 daerah di negeri ini.

Antaranya, Kedah Lion Dance Festival pada Februari, Temasya Sukan Sungai Antarabangsa (Jun), Pesta Mempelam Kedah (Mei-Julai), Pedu Festival (Ogos) serta Karnival Jerami Kedah dan Experience Kedah Floria Citrawarna.

Selain International Islamic Festival 2025, Kedah MyKampung melibatkan pelajar-pelajar antarabangsa serta Pesta Makanan Tradisional Kedah dan Jom Beraya di Kedah.

Jika semua pakat-pakat bantu kempen tidak kiralah negeri mana sekalipun, ia secara tidak langsung turut membantu promosi Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026).

Tidak perlu ada perasaan iri hati dengan pencapaian negeri lain sebab masing-masing ada tarikan tersendiri untuk gamit pelancong.

Usah jadikan isu seperti video kempen sebagai usaha merencatkan promosi melawat negeri. Berilah pandangan membina, elakkan pandangan yang meruntuhkan kerana manfaatnya berbalik kepada negara secara keseluruhannya.

Jadikan kes antara TMM 2026 dan Tahun Melawat Kelantan 2024 yang kecoh disebabkan isu ketiadaan masjid sebagai pengajaran agar tidak berulang.

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) berlapang dada menerima kritikan dan memaklumkan video promosi TMM 2026 akan dibuat semula dengan lebih terperinci bagi mempromosi setiap negeri.

Diharap ketika menginjak Februari, tiada lagi cerita tidak enak tentang TMM 2026 mahupun TMK 2025.

Marilah kita bersatu hati mempromosikan tahun melawat negeri yang terlibat agar sektor pelancongan negara melonjak dan mencapai sasaran.

*Roslinda Hashim

Ketua Wartawan Sinar Harian Utara

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!