Polis siasat dakwaan cubaan culik wanita di pusat beli-belah

JOHOR BAHRU – Polis sedang menyiasat dakwaan seorang wanita warga tempatan berhubung cubaan culik berhampiran sebuah pusat membeli- belah di bandar raya ini sebagaimana yang tular.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, sebelum itu video berkenaan dakwaan itu diterima pada jam 2 petang Selasa.
“Menerusi video yang tular itu seorang wanita warga tempatan mendakwa ada cubaan menculiknya oleh dua individu semasa dia membeli barangan berhampiran pusat beli-belah terbabit.

“Walau bagaimanapun hasil semakan mengesahkan tiada sebarang laporan berkaitan kes yang tular itu diterima setakat ini,” katanya dalam satu kenyataan pada malam Selasa.
Raub berkata, polis sedang mengenal pasti individu-individu yang terlibat, saksi kejadian dan punca sebenar kejadian tersebut.
"Orang ramai diminta tidak menyebarkan video berkenaan dalam medaia sosial bagi mengelakkan salah faham atau spekulasi yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat.
"Mereka yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tersebut katanya, boleh menghubungi talian hotline IPD JBS 07-2182323," ujarnya.
Sebelum itu, tular video seorang wanita mendakwa seorang lelaki dan wanita menghampirinya untuk mempromosikan produk mereka.
Wanita dalam video berkenaan mendakwa, dia tidak mahu membeli produk mereka tetapi kedua-dua suspek terus memujuk dan mengikutinya sebelum bersetuju untuk mencubanya.
Namun wanita itu mendakwa pening terhidu produk tersebut dan hampir dibawa pergi oleh mereka, sebelum membuat laporan polis.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!