[VIDEO] Tidak boleh sewenangnya ceroboh privasi orang awam
SHAH ALAM - Pemeriksaan telefon bimbit orang awam dibolehkan jika individu itu ditahan polis namun jika tiada penahanan, pemeriksaan hanya boleh dilakukan setelah mendapat kebenaran mahkamah atau melalui undang-undang berkaitan.
Peguam, M Hafiz Zainol Abidin berkata, telefon bimbit orang awam tidak boleh diperiksa dengan sewenang-wenangnya kerana mengandungi maklumat peribadi serta perkara yang bersifat sekuriti seperti maklumat akaun bank dan sebagainya.
“Jika seseorang individu itu ditangkap, polis memang ada hak buat pemeriksaan untuk melakukan siasatan, namun dalam kes yang tiada tangkapan terlebih dahulu, seharusnya apa-apa tindakan periksa telefon bimbit perlu dibuat secara kebenaran mahkamah.
“Ini kerana telefon bimbit pada masa ini dikira sebagai barang peribadi yang agak privasi kerana ia bukan untuk tujuan telekomunikasi semata-semata tetapi lebih daripada itu seperti urusan perbankan atau berkaitan pekerjaan.
“Seksyen 23 (1) Kanun Prosedur Jenayah adalah berkaitan dengan hal penangkapan dan bukannya berkenaan dengan apa-apa pemeriksaan. Jadi seksyen ini tidak boleh digunakan untuk memungkinkan kepada satu prosedur berkenaan dengan pemeriksaan telefon bimbit orang awam,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Sebelum ini, satu perjumpaan akan diadakan antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dalam masa terdekat bagi membincangkan isu pemeriksaan telefon bimbit orang awam oleh polis.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, telah diminta untuk memberi penerangan yang jelas daripada sudut penguatkuasaan undang-undang.
Dalam pada itu, ditanya mengenai hak orang awam M Hafiz berkata, orang awam berhak mempersoalkan dan menuntut penjelasan daripada pihak berkuasa berhubung tindakan tersebut.
“Tanya mereka (pihak berkuasa), adakah terdapat apa-apa keadaan yang menjuruskan kepada kesalahan jenayah sehingga pihak polis ingin memeriksa telefon bimbit.
“Sekiranya tiada grounds for suspicion, pihak polis tidak boleh berbuat demikian,” jelas beliau.
Ketua Kluster Komunikasi Kanun (Biro undang-undang), Parti Amanah Negara, Noorazmir Zakaria pula berkata, setiap individu di negara ini dilindungi kebebasan asasi terhadap diri dan hartanya kecuali sekiranya undang-undang membenarkan.
Beliau menjelaskan, walaupun polis diberikan kuasa untuk menahan seseorang dengan membuat siasatan namun penahanan atau siasatan tersebut perlu dibuat atas sebab yang munasabah.
“Perkara 5(3) Perlembagaan Persekutuan menyatakan, (3) jika seseorang ditangkap maka dia hendaklah diberitahu dengan seberapa segera, alasan-alasan dia ditangkap dan hendaklah dibenarkan berunding dengan serta dibela oleh seorang pengamal undang-undang pilihannya.
“Justeru, kuasa polis untuk menahan seseorang dan memeriksa telefon bimbitnya mestilah atas alasan yang kukuh atau berdasarkan prinsip kecurigaan munasabah serta maklumat yang dipercayai (reasonable suspicion and credible information),” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!