Briged Al-Qassam siar video penyerahan 3 tawanan Israel di Gaza

Tiga tawanan wanita Israel (dari kiri) Emily Damari, Romi Gonen dan Doron Steinbracher duduk di dalam kenderaan Hamas sebelum diserahkan kepada ICRC di Semenanjung Gaza. Foto AFP
Tiga tawanan wanita Israel (dari kiri) Emily Damari, Romi Gonen dan Doron Steinbracher duduk di dalam kenderaan Hamas sebelum diserahkan kepada ICRC di Semenanjung Gaza. Foto AFP
A
A
A

BANDARAYA GAZA - Briged Al-Qassam, sayap tentera kumpulan Hamas pada Ahad menyiarkan video yang merakamkan detik mereka menyerahkan tiga tawanan wanita Israel kepada Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) di sini sebagai sebahagian daripada perjanjian gencatan senjata dengan Israel, lapor Agensi Anadolu (AA).

Video itu menunjukkan proses penyerahan dilakukan di al-Saraya Square di tengah Bandaraya Gaza yang dihadiri ratusan penduduk Palestin bersama beberapa anggota Briged Al-Qassam bertopeng.

Semasa penyerahan itu, anggota Briged Al-Qassam kelihatan bersenjata, dikelilingi oleh ribuan rakyat Palestin yang melaungkan slogan meraikan berakhirnya genosid Israel dan menyatakan sokongan kepada pejuang itu.

Pihak Berkuasa Penyiaran Awam Israel (KAN) melaporkan bahawa Hamas memberikan hadiah kenang-kenangan kepada tiga tawanan wanita Israel yang dibebaskan itu. Foto AFP
Pihak Berkuasa Penyiaran Awam Israel (KAN) melaporkan bahawa Hamas memberikan hadiah kenang-kenangan kepada tiga tawanan wanita Israel yang dibebaskan itu. Foto AFP

Tawanan Israel kelihatan dalam keadaan baik, berbeza sekali dengan tahanan Palestin yang dibebaskan oleh Israel sebelum ini yang menunjukkan tanda-tanda penyeksaan, penganiayaan dan kebuluran, malah ada yang mengalami gangguan mental.

Pihak Berkuasa Penyiaran Awam Israel (KAN) melaporkan bahawa Hamas memberikan hadiah kenang-kenangan kepada tiga tawanan wanita Israel yang dibebaskan itu.

Tiga tawanan wanita Israel itu diserahkan di bawah fasa pertama perjanjian gencatan senjata dan pertukaran tahanan.

Perjanjian gencatan senjata di Gaza itu berkuat kuasa pada Ahad 11.15 pagi waktu tempatan (0915GMT) selepas tertangguh beberapa jam berikutan Israel menuduh Hamas melengahkan penyerahan senarai tawanan yang akan dibebaskan.

Hampir 47,000 orang terbunuh, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, serta lebih 110,700 yang lain cedera dalam serangan genosid Israel ke atas Gaza sejak 7 Oktober 2023, menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan.

Artikel Berkaitan:

Konflik itu juga menyebabkan lebih 11,000 orang hilang, dengan kemusnahan meluas dan krisis kemanusiaan yang meragut banyak nyawa warga emas dan kanak-kanak, menjadikannya satu daripada bencana kemanusiaan terburuk dunia.

November lepas, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanannya Yoav Gallant atas jenayah perang dan jenayah kemanusiaan di Gaza.

Israel juga menghadapi kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung serangannya ke atas wilayah terkepung itu. - Bernama-AA

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!