Adik angkat suami ditahan curi barangan kemas RM237,000

KUALA TERENGGANU - Polis menahan seorang lelaki berhubung kes kecurian barang kemas bernilai RM237,000 milik seorang pensyarah wanita pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd berkata, suspek berusia 31 tahun itu merupakan adik angkat kepada suami mangsa dan lelaki tersebut sering bermalam di rumah keluarga mangsa di Kampung Bukit Wan, Batu Rakit, Kuala Nerus.
"Pada Sabtu lalu, kita telah menerima laporan polis daripada seorang wanita berusia 49 tahun yang bekerja sebagai pensyarah perubatan memaklumkan bahawa koleksi barang kemas miliknya telah hilang di rumah.
"Kehilangan barang kemas itu dipercayai berlaku sejak November 2024 namun baru disedari sepenuhnya pada Jumaat lalu setelah usaha pencarian tersebut bersama ahli keluarga gagal menemui barangan kemas berkenaan," katanya dalam kenyataan di sini pada Isnin.
Mengulas lanjut, Azli menyatakan mangsa tinggal bersama suami, empat anak dan seorang pembantu rumah serta suspek yang juga adik angkat suaminya.
Berdasarkan risikan dan hasil siasatan, Azli menyatakan sepasukan polis dari bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu telah menahan lelaki tersebut di Jalan Sultan Omar di sini pada jam 3 pagi, Ahad lalu.
"Berdasarkan hasil soal siasat bersama suspek, lelaki yang bekerja sebagai peniaga itu mengaku mengambil barang kemas tersebut dan telah menjualnya di sebuah kedai emas di Kuala Terengganu.
"Suspek telah dibawa ke kedai emas tersebut dan pihak polis telah merampas sebuah buku resit serta seketul logam berwarna kekuningan disyaki emas," ujarnya.
Susulan itu, Azli berkata, kes ini berjaya diselesaikan kurang dari tempoh 24 jam dan suspek telah direman selama empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
