Penghantar makanan didenda RM3,500 miliki 35 unit barang kemas curi

REMBAU - Penghantar makanan didenda RM3,500 di Mahkamah Majistret di sini pada Selasa selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menyimpan 35 unit pelbagai jenis barang kemas curi, Sabtu lalu.
Tertuduh, Wan Amirul Asyraf Wan Musthapa, 26, membuat pengakuan berkenaan sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Kartini Kasran.
Dia turut berdepan hukuman lapan bulan penjara sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh telah didapati dengan curangnya menyimpan harta curi iaitu 35 unit pelbagai jenis barang kemas kepunyaan seorang lelaki berusia 22 tahun dengan mengetahui atau ada sebab untuk mempercayai bahawa harta tersebut adalah harta curi.
Perbuatan itu dilakukan tertuduh pada 18 Januari lalu jam lebih kurang 6.30 petang bertempat di tepi jalan Taman Rekreasi Tampin.
Sehubungan itu, tertuduh telah melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan.
Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Khairunnisa Zainuddin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, tertuduh merayu untuk dikenakan hukuman denda sahaja berikutan mendakwa dia juga adalah mangsa penipuan sama seperti pengadu.
Berdasarkan fakta kes, pengadu kes ini telah menyerahkan 35 unit pelbagai jenis barang kemas miliknya bernilai RM12,734 kepada tertuduh selepas diarahkan berbuat demikian melalui panggilan telefon.
Ia sebagai cagaran untuk tidak dikenakan tindakan undang-undang susulan didakwa terlibat dalam urusan jual beli produk kosmetik yang tidak mempunyai kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Pengadu kemudian berasa tertipu lalu membuat laporan polis.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!