Gagal semak semula harga air bukti Singapura tidak ikhlas

Majlis tandatangan Perjanjian Air antara Malaysia dan Singapura dibuat pada September 1962 di Johor Bahru.
Majlis tandatangan Perjanjian Air antara Malaysia dan Singapura dibuat pada September 1962 di Johor Bahru.
A
A
A

SHAH ALAM - Kegagalan kerajaan Malaysia melaksanakan semakan semula harga air menerusi Perjanjian Air Singapura-Johor 1962 sehingga kini disebabkan tiada keikhlasan ditunjukkan kerajaan Singapura bagi menyelesaikannya.

Pakar Kajian Strategik Keselamatan Antarabangsa dan Diradikalisasi dari Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Profesor Madya Dr Mohd Mizan Mohd Aslam berkata, meskipun terdapat perbezaan takrifan pemahaman mengenai Klausa 14 Perjanjian Air Sungai Johor 1962 menjadikan ia 'grey area', Singapura boleh sahaja menyelesaikannya secara menang-menang dengan semangat setiakawan negara Asean.

Bagaimanapun, beliau melihat Singapura tidak pernah membuat perkiraan sebegitu dengan apa sahaja keputusan dicapai kelak pastinya akan mendatangkan kerugian kepada negara.

"Kita ambil contoh persaingan kerajaan Malaysia dan Singapura dalam isu perebutan Pulau Batu Putih dan pembinaan lapangan terbang kedua Singapura di Seletar yang terletak sangat hampir dengan kawasan Pasir Gudang, Johor.

"Kedua-dua pertikaian itu akhirnya memihak kepada Singapura dengan mereka melihat hanya faktor keuntungan di pihak mereka tanpa mengiktiraf pengorbanan Malaysia.

"Mungkin sampai masanya kita mengambil tindakan keras kepada Singapura sebagai pengajaran bermula dengan ketegasan dalam menuntut semakan semula Perjanjian Air Singapura-Johor 1962," katanya kepada Sinar Harian semalam.

Bagaimanapun, Dr Mohd Mizan berkeyakinan masalah pertikaian perjanjian air antara Singapura dan Malaysia tidak sampai pada tahap keperluan berperang dengan Singapura.

Menurutnya, konfrontasi besar-besaran terhadap kedaulatan negara masing-masing juga dijangka tidak akan berlaku.

Artikel Berkaitan:

"Cuma kita akan melihat ia mungkin boleh membangkitkan konfrontasi terhadap aspek keselamatan lain seperti Lapangan Terbang Seletar, Singapura; Tambak Johor; status pertukaran tanah milik kerajaan di Woodland, Singapura dengan tanah kurang strategik di negara itu serta paling menarik, cadangan pembinaan Jambatan Bengkok.

"Kalau dibincang dari sudut kemampuan ketenteraan, kita tidak setanding dengan Singapura dengan terdapat dakwaan mengatakan peluru-peluru berpandu Singapura paling canggih ketika ini ditujukan ke kawasan-kawasan strategik negara kita.

"Sekiranya alasan untuk berperang secara fizikal dengan Singapura, kita akan rugi namun kita berkuasa memberi tekanan aspek lain seperti keperluan pembekalan air, meneruskan pembinaan Jambatan Bengkok atau menyekat kemasukan rakyat mereka ke negara ini," katanya.