Insiden pukul OKU: Rakan dedah peribadi mangsa

KUALA TERENGGANU - Seorang individu dipercayai rakan sekolah kepada lelaki orang kurang upaya (OKU), dipukul beramai-ramai di Pasar Tani, Padang Astaka Chukai, Kemaman, tampil mendedahkan keperibadian sebenar mangsa.
Individu menggunakan nama Cikgu Mie berkata, Ahmad Nor Al Faizan Jusoh, 47, merupakan rakannya ketika bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sheikh Abdul Malek di sini.
"OKU tu kawan saya. Senior saya. Dia bukan orang tak pandai bukan tak belajar agama tapi ditakdirkan ALLAH uji dia dapat penyakit mental.
"Sejak habis sekolah dia buat macam-macam perniagaan di Kemaman ni untuk hidup macam biasa, dia pernah buka kedai dalam Centre Point.
"Dia kuat usaha dan tak susahkan orang walaupun masa tu dia dah ada kad OKU. Tapi seiring waktu berlalu mungkin dia dah semakin keliru dan kadang-kadang sukar kawal kewarasan," tulisnya menerusi ruangan komen di laman sosial Facebook, pada Jumaat lalu.
Dalam pada itu, katanya, kejadian seumpama itu tidak sepatutnya berlaku jika masing-masing dapat mengawal diri daripada bertindak melulu.
"Masyarakat luar sebagai orang waras dan beragama Islam sepatutnya kena lebih bijaksana dan memahami situasi sebelum bertindak.
"Kita kan Terengganu Darul Iman, patutnya kita tunjuk contoh baik dan akhlak mulia barulah orang puji dan suka nak datang Terengganu," tulisnya.
Jumaat lalu, Sinar Harian melaporkan berhubung insiden seorang lelaki dipukul di hadapan orang ramai di pasar tersebut.
Menurut polis, siasatan awal mendapati kejadian itu berpunca apabila mangsa menunggang motosikal telah memasuki tapak jualan pasar tani lalu terlanggar sebuah gerai menyebabkan barangan jualan di gerai tersebut terjatuh.
Susulan itu, beberapa individu yang berada di lokasi tersebut dipercayai telah telah bertindak memukul mangsa.
Insiden mangsa dipukul menarik perhatian ramai setelah rakaman video berdurasi 1 minit 52 saat mengenai kejadian itu tular di media sosial sejak pagi Jumaat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!